Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Dengan bendera besar Negara Brunei Darussalam mula berkibar megah di ruang udara ibu negara, pelbagai pihak termasuk institusi-institusi pengajian tinggi turut mula menaikkan bendera kebangsaan dalam sama-sama menunjukkan semangat patriotik sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37.
Universiti Brunei Darussalam (UBD) adalah antara yang mengadakan upacara seumpamanya di hadapan Dewan Canselor, UBD, hari ini di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz.
Upacara menaikkan bendera telah dilakukan oleh Pasukan Kadet UBD dengan iringan lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dan lagu patriotik oleh kumpulan koir dan para pensyarah, pegawai serta mahasiswa dan mahasiswi yang hadir.
Universiti Teknologi Brunei (UTB) turut mengadakan upacara serupa di kampusnya, hari ini, di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.
Upacara menaikkan bendera telah disempurnakan oleh anggota Kadet Tentera UTB dengan iringan lagu kebangsaan oleh hadirin.




Sebuah lagi institusi pengajian tinggi yang mengadakan upacara menaikkan bendera kebangsaan di kampusnya adalah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar yang berlangsung di kawasan letak kereta Zon A, UNISSA.
Pada majlis itu, Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal menyerahkan bendera kebangsaan kepada pasukan beruniform UNISSA yang diketuai oleh Kadet Bomba Muhd Waseem bin Muhd Rizal untuk dinaikkan dengan iringan nyanyian lagu kebangsaan oleh warga UNISSA yang hadir.
Di samping itu, Majlis Perundingan Kampung Setia A , Mukim Sungai Kebun turut mengadakan majlis menaikkan bendera di perkarangan rumah pemangku penghulu Mukim Sungai Kebun dan ketua Kampung Setia A (Kampong Ayer Zone 3).
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Kota Batu dan Pemangku Penghulu Mukim Kianggeh, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis.