Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zahir rasa syukur

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Bagi menyemarakkan dan memeriahkan lagi Sambutan Perayaan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-73 tahun, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Persatuan Nurul Islam dan Kelas Bimbingan Mualaf telah mengadakan persembahan bercorak keagamaan di kawasan lapang berhadapan Muzium Alat-alat Kebesaran Diraja, di ibu negara, baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada acara tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan), KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang dan isteri.

    Hadir sama ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh bersama para pegawai kanan di KHEU, pegawai serta kakitangan PDI, ahli-ahli Persatuan Nurul Islam dan Kelas Bimbingan Muallaf.

    Majlis pada malam itu dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar beramai-ramai diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid PDI, Awang Muhammad Naqib bin Haji Awang.

    Antara pengisian yang diatur pada malam tersebut adalah persembahan-persembahan tausyeh daripada pegawai dan kakitangan perempuan PDI serta ahli-ahli Persatuan Nurul Islam, teater bertajuk ‘Makbulnya Doa Ibu’ dan deklamasi sajak tujuh bahasa daripada gabungan ahli-ahli Persatuan Nurul Islam dan Kelas Bimbingan Mualaf.

    Acara pada malam tersebut juga diserikan dengan acara kuiz bagi orang awam.

    Antara objektif majlis itu adalah untuk memberi peluang kepada para pegawai dan kakitangan PDI serta para mualaf dalam menzahirkan rasa kasih sayang dan syukur atas kepimpinan yang adil lagi bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Antara persembahan bercorak keagamaan yang memeriahkan lagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-73 tahun.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda