Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Istiqamah membaca Al-Quran menjadi amalan yang membentuk banyak manfaat selain mendekatkan diri kepada Allah SWT sekali gus merebut pahala yang berlipat ganda.
Amalan itu juga menambah ilmu serta membawa keberkatan dalam kehidupan dan ibadah membaca secara berjemaah juga sudah tentu dapat mengeratkan lagi ukhuwah Islamiah kalangan jemaah sekali gus memakmurkan masjid.
Sehubungan itu, bagi menzahirkan rasa kesyukuran selepas tamat pembacaan 30 juzuk Al-Quran, Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Sungai Hanching telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di masjid berkenaan, hari ini.
Hadir sama-sama menyertai majlis berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman yang juga selaku Penaung AJK Takmir Masjid Kampung Sungai Hanching.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan disusuli dengan bacaan Surah Ad-Dhuha sehingga Surah An-Nas yang dipimpin oleh Ketua Imam Masjid Kampung Sungai Hanching, Haji Abdul Malik bin Haji Jumaat yang juga membaca Doa Khatam dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis dimeriahkan dengan Dikir Marhaban oleh AJK Takmir Masjid Kampung Sungai Hanching, peserta khatam dan juga para jemaah yang hadir.


