Thursday, April 3, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zahirkan taat setia pada pemimpin negara berjiwa rakyat

    Oleh Nurdiyanah R.

    Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat serta Penduduk Daerah Tutong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-75 merupakan satu peluang yang amat berharga untuk menatap wajah pemimpin negara yang berjiwa rakyat.

    Sesungguhnya keberangkatan Baginda Sultan berserta kerabat diraja bercemar duli ke Daerah Tutong, merupakan peluang keemasan yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat dan penduduk daerah ini bagi menzahirkan rasa syukur dan kasih sayang yang amat mendalam serta kegembiraan terhadap seorang pemimpin negara yang disegani.

    Aura kesetiaan rakyat dan penduduk daerah berkenaan yang hadir juga semakin terserlah dengan adanya barisan bendera kecil negara yang dikibarkan oleh pelajar-pelajar sekolah sepanjang jalan menuju kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong menjunjung keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja.

    Meskipun cuaca terik matahari memancar di langit Daerah Tutong, namun semangat rakyat dan penduduk di daerah berkenaan tidak pernah luntur untuk sama-sama hadir menantikan ketibaan Baginda Sultan dan kerabat diraja sejak awal pagi lagi.

    Penglibatan lebih 270 orang peserta persembahan khas juga tidak ketinggalan memancar semangat juang mereka dalam menggenggam satu amanah dalam sama-sama menjayakan persembahan khas semasa berlangsungnya Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat serta Penduduk Daerah Tutong.

    Antara yang terlibat membuat persembahan khas semasa berlangsungnya Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat serta Penduduk Daerah Tutong.
    Dayang Suzan mengongsikan detik-detik manis ketika terlibat dalam menyembahkan alunan karya lagu-lagu indah kehadapan majlis Baginda Sultan beserta kerabat, yang bagaikan satu peluang yang amat berharga.
    Yang Berhormat Haji Abdul Wahab turut mengungkapkan kesyukuran penuh kegembiraan bagi mewakili rakyat dan penduduk di daerah tersebut di atas keberangkatan Baginda Sultan berserta kerabat diraja.

    Alunan indah buat raja yang dikasihi

    Sehubungan dengan itu, detik-detik kemanisan terlibat dalam menyembahkan alunan karya lagu-lagu indah kehadapan majlis Baginda Sultan dan juga kerabat diraja yang lain turut dikongsikan oleh salah seorang penyanyi tanah air, Dayang Suzan Maidin yang bagaikan satu peluang amat berharga dalam hidup mereka, lebih-lebih lagi ketika menatap wajah pemimpin negara yang begitu dinanti-nantikan setiap tahun.

    “Alhamdulillah, perasaan itu pasti sukar diungkapkan dengan kata-kata sepenuhnya, namun diri ini amat berbesar hati kerana terpilih sebagai salah seorang penyanyi daripada kalangan penduduk di Daerah Tutong sendiri. Meskipun bukanlah kali pertama mengikuti persembahan sebegini, namun hakikatnya setiap tahun itu sememangnya memiliki aura keindahan yang tersendiri.

    “Setiap bait-bait kata yang didendangkan itu memiliki makna betapa sayangnya kami semua kepada Baginda Sultan. Dan itulah juga yang terlubuk dalam sanubari kami semua berbekalkan ketulusan doa yang dipanjatkan bersama-sama demi memohon Allah SWT melimpahkan keberkatan umur dan kesihatan kepada pemimpin negara yang kita cintai dan juga kerabat diraja yang lain, serta rakyat dan penduduk tanah air kita sentiasa diberikan kedamaian dalam meniti kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan juga bernegara,” ujarnya lagi yang digandingkan bersama tiga orang penyanyi tempatan yang lain.

    Berkongsi dari segi latihan sebelumnya, Dayang Suzan turut menjelaskan latihan secara berterusan itu sudah menjadi asam garamnya sebagai anak seni sama seperti anak-anak seni yang lain. Hal ini sememangnya begitu penting dilaksanakan demi memantapkan apa sahaja persembahan yang disertai, selain sentiasa bersenam setiap petang bagi meningkatkan stamina dan kesihatan diri dan pastinya sentiasa memiliki rehat yang mencukupi dalam kehidupan sehari-hari.

    Sementara itu, Awang Muhammad Nurul Sallehin bin Haji Mamat atau lebih senang disapa Awang Leehin juga selaku salah seorang penyanyi yang tidak asing lagi di negara ini, turut merakamkan perasaan kesyukuran yang tidak terhingga kerana berpeluang mempersembahkan nyanyian sambil menzahirkan taat setia dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam beserta kerabat diraja.

    “Rasa gementar memang ada kerana inilah kali pertama menyertai persembahan khas sebegini. Namun berkat latihan yang telah dijalankan pada bulan sebelumnya, kami semua dapat menjayakan persembahan khas pada tahun ini dengan keizinan Allah SWT jua.

    “Pastinya keserasian bersama penyanyi-penyanyi yang lain, Suzan, Widuri dan Khai cukup dapat dirasai dalam sama-sama menyokong antara satu sama lain dari segi nyanyian, pembahagian lirik dan gerak tari, di samping kegigihan para pelakon dan penari-penari yang terlibat. Alhamdulillah, inilah salah satu kenangan terindah yang pastinya sesuatu yang sukar dilupakan,” tambahnya lagi.

    Raja dan rakyat berpisah tiada

    Sepanjang lebih lima dekad pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dengan izin dan rahmat Allah SWT jua, kita selaku rakyat dan penduduk negara ini dapat menikmati keamanan, kedamaian dan kemakmuran.

    “Sejak zaman dahulu lagi, kita sebagai rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam sentiasa berpegang teguh kepada falsafah Melayu Islam Beraja. Ia sudah begitu sebati dalam kehidupan orang-orang Brunei kita sehingga kini dan salah satunya ialah taat setia kepada raja dalam semua aspek pentadbiran negara. Sungguh benarlah, raja dan rakyat itu berpisah tiada.” Begitulah yang disampaikan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit selaku penghulu Mukim Telisai dan Mukim Ukong merakamkan dengan penuh kerendahan hati menjunjung kasih di atas keberangkatan raja yang dikasihi ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat serta Penduduk Daerah Tutong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-75.

    “Alhamdulillah, kita dapat berkumpul bersama meraikan hari yang bersejarah ini. Hingga ke detik ini, dengan izin Allah SWT pandemik COVID-19 di negara kita sudah pun terkawal berkat usaha dan ikhtiar bersulam kemanisan hikmah dalam berdoa dan bertawakal kepadaNya, dan juga berkat kewibawaan kepimpinan Baginda Sultan melalui Kementerian Kesihatan.

    “Daerah Tutong sebagai pembuka majlis ramah mesra dan junjung ziarah bersama rakyat serta penduduk pada tahun ini dilihat berlangsung dengan lancar. Begitu jelas, rakyat dan penduduk di Daerah Tutong menyambut kemeriahan ini dengan penuh kesyukuran dengan mengikuti langkah-langkah keselamatan bagi terus mengekang penularannya meskipun situasi sudah terkawal,” tambahnya lagi.

    Lambang taat setia

    Turut ditemui semasa berlangsungnya majlis berkenaan, ahli MMN, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong selaku penghulu Mukim Tanjong Maya dan pemangku penghulu Mukim Pekan Tutong dan Mukim Keriam (Zon I) yang turut mengungkapkan kesyukuran penuh kegembiraan bagi mewakili rakyat dan penduduk di daerah tersebut di atas keberangkatan Baginda Sultan berserta kerabat diraja untuk sama-sama berkongsi detik-detik sejarah ini bersama rakyat dan penduduk di daerah itu.

    “Kemeriahan cukup dirasai, jiwa perpaduan jelas terlihat dengan adanya berbilang puak di negara kita ini turut sama-sama bersatu menjunjung keberangkatan Baginda Sultan berserta kerabat diraja yang sekali gus melambangkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan raja sebagai Ulul Amri selaku peneraju dalam mencapai kemajuan negara yang merdeka lagi berdaulat ini.

    ”Semoga Kebawah Duli Tuan Patik serta kerabat diraja dilanjutkan usia dan sentiasa berada dalam perlindungan dan keredaan Allah SWT, sihat walafiat, aman sejahtera serta kekal karar memerintah turun-temurun di atas takhta singgahsana kerajaan dan Negara Brunei Darussalam terus berada dalam keadaan aman, damai serta dengan rahmat, taufik dan inayahNya jua,” ucapnya tulus semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda