Pelakon dan model Zahnita Wilson terpaksa menutup perniagaan kedai bakeri miliknya yang terletak di Seri Kembangan, Selangor kerana tidak dapat lagi menanggung kos operasi.
Zahnita atau Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 40, berkata dia juga menanggung kos kerugian hampir RM150,000 selepas jualan merosot secara ketara sejak Ogos.
Menurutnya modal daripada perniagaan pai sebelum ini telah dilaburkan sepenuhnya untuk membuka kedai tersebut, namun dia berdepan cabaran besar untuk menguruskan kedai fizikal.
“Kedai bakeri saya mula beroperasi pada Jun lalu dan beberapa bulan saja saya rasa tak mampu lagi. Saya tak pasti lagi bila tarikh akhir kedai saya akan beroperasi. Saya kena lihat dulu sampai hujung bulan ini. Saya akan buat kira-kira dan sekiranya masih sama memang agak susahlah untuk teruskan.
“Keuntungan perniagaan pai saya tahun lalu saya laburkan untuk bisnes ini. Saya tanggung banyak kerugian lebih RM150,000. Duit itu masih di situ cuma kos operasi saja susah nak tanggung kerana jualan menurun sejak Ogos lalu,” katanya ketika dihubungi mStar.
Dia sebelum itu berkongsi perkara berkenaan dalam satu hantaran yang dimuat di laman Instagram miliknya pada Ahad.
Zahnita juga tidak menafikan keputusan untuk membuka kedai fizikal mungkin terlalu tergesa-gesa tanpa mengambil kira komitmen yang perlu ditanggung.
“Mungkin kerana terlalu cepat saya meluaskan perniagaan ini untuk membuka kedai daripada hanya seorang homebaker, komitmennya sangat tinggi. Ini adalah cabaran yang saya hadapi untuk mengembangkan perniagaan. Saya tak mampu teruskan tanpa keuntungan.
“Macam mana saya nak uruskan komitmen tinggi jika untung yang kami terima tidak mencukupi. Nak tampung gaji pekerja lagi, modal bahan mentah dan kos operasi, ia bukan satu perkara mudah,” ujarnya.
Biarpun berdepan cabaran, ia tidak pernah melunturkan semangat model ini untuk meneruskan perniagaan Zahnita’s Humble Pie secara kecil-kecilan dari rumah. Dia juga percaya setiap yang dilalui akan berakhir dengan kegembiraan.
“Selepas ini saya tetap akan meneruskan perniagaan dengan menjadi homebaker semula. Saya cuba cari jalan untuk terus hidupkan perniagaan ini.
“Sekarang ini saya tengah struggle juga, insya-Allah ada rezeki lebih baik. Doakan ya,” katanya. – Agensi


