Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Awang Zainal Mustapa bin Jaluddin dan Dayang Najla’ Sabreena binti Haji Abd. Rajid telah dinobatkan sebagai Johan Qari dan Qariah dalam Peringkat Akhir Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1446/2025, setelah masing-masing memperoleh markah 89.50 peratus dan 90.25 peratus.
Majlis yang berlangsung di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) semalam menyaksikan seramai 10 peserta akhir yang terdiri daripada lima qari dan lima qariah, termasuk Johan Menunggu Musabaqah tahun 2024, memperdengarkan bacaan Al-Quran dengan penuh bersemangat.
Menteri KKBS, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat Menteri menekankan bahawa Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan yang dilaksanakan setiap tahun adalah amat signifikan dalam usaha membudayakan pembacaan, pemahaman dan penghayatan Al-Quran dalam kalangan belia Brunei, seiring dengan hasrat negara untuk membentuk Negara Zikir yang berlandaskan agama Islam menurut ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Lebih daripada sebuah pertandingan tilawah, musabaqah turut merupakan wadah penting dalam membentuk generasi belia yang beriman, berakhlak mulia serta mampu menjadi pemimpin masyarakat yang unggul,” menurut beliau.
“Inisiatif ini juga selari dengan Dasar Belia Negara dan Strategi 2020–2035, yang menekankan pembangunan belia secara holistik dari sudut akal, jasmani dan rohani, berpaksikan prinsip Melayu Islam Beraja dan Maqasid Syariah.”
Musabaqah tahun ini turut mencatat sejarah penyertaan tertinggi dengan 93 peserta termasuk 41 peserta baharu dan menjadi satu pencapaian yang amat membanggakan dan mencerminkan peningkatan minat serta kecintaan belia terhadap Al-Quran.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan serta wakil-wakil penaja.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Awang Abdul Mujib bin Awang Sh’minan, peserta program Journey to The Holy Site di Arab Saudi dan diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Belia dan Sukan, Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim selaku pengerusi majlis.
Persembahan tausyeh belia oleh Kumpulan Tausyeh Dhafwatul ‘Aisy turut menyerikan majlis, sebelum pengumuman keputusan disampaikan oleh Pengiran Dr Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, selaku pengerusi Jemaah Hakim.
Menurut kenyataan, naib johan dan tempat ketiga bahagian qari dimenangi oleh Awang Mohammad Hamiz Mirza bin Haji Sudirman dengan memperoleh markah 89.13 peratus, dan Awang Muhammad Nur Asymawi bin Awang Asli memperoleh markah 88.75 peratus.
Bahagian Qariah pula menyaksikan Dayangku Akma Nabilah binti Pengiran Haji Jofri dengan memperoleh markah 86.25 peratus dinobatkan sebagai Naib Johan dan Tempat Ketiga dimenangi oleh Dayang Nur Amal Atiqah @ Aida binti Haji Sudirman yang memperoleh markah 85.13 peratus.
Para johan menerima piala pusingan, hadiah iringan, sijil penyertaan, wang tunai $3,000, serta Akaun Simpanan Persaraan bernilai $700 sumbangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya. Naib johan menerima $2,000 dan simpanan $350, manakala tempat ketiga menerima $1,000 dan simpanan $250. Peserta sagu hati pula membawa pulang $500 dan simpanan $100.