SHAH ALAM, 31 DIS – Legenda bola sepak kebangsaan Datuk Zainal Abidin Hassan optimis skuad Harimau Malaya mampu mencuri mata pada perlawanan pembukaan bertemu Jordan dan Bahrain di Piala Asia 2023 di Doha, Qatar bermula 12 Januari hingga 10 Februari depan.
Bekas penyerang Selangor itu berkata, keyakinan itu muncul setelah melihat percaturan ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon yang banyak ‘menampal’ kelemahan pasukan negara selain prestasi memberangsangkan tahun ini.
“Kita lawan dengan Bahrain dan Tajikistan tidak jauh ketinggalan matanya, itu sebelum Pan Gon memperbaiki pasukan, jadi saya lihat pasukan Jordan tidak jauh beza (prestasinya) dengan Tajikistan sekiranya mereka memberikan persembahan terbaik dan konsisten.
“Harimau Malaya juga pernah ketinggalan jaringan semasa lawan dengan pasukan Kyrgyzstan namun bangkit untuk memenangi perlawanan, kalau kekalkan prestasi itu di Piala Asia saya yakin mereka boleh kalahkan Jordan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Harimau Malaya sebelum ini kalah tipis 1-2 kepada Bahrain pada Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun 2022 manakala perlawanan bertemu Tajikistan di Pestabola Merdeka 2023 pada Oktober menyaksikan skuad negara tewas 0-2.
Malaysia akan menentang Jordan dalam aksi pembukaan Kumpulan E Piala Asia 2023 pada 15 Januari, diikuti Bahrain (20 Jan) dan juara dua kali yang juga pasukan pilihan Korea Selatan pada 25 Januari.
Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, keyakinan untuk mencuri mata bertambah apabila Pan Gon memasukkan penyerang naturalisasi baharu Kuala Lumpur (KL) City FC, Romel Morales, yang disifatkannya sebagai tindakan bijak untuk menghadirkan tentangan sengit di Qatar kelak. – Bernama
