Penyanyi era 1980an, Zaiton Sameon, 67, amat memerlukan bantuan kewangan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengurangkan bebanan kos sara hidupnya.
Zaiton berkata, dia kini dalam kesusahan dan amat memerlukan bantuan kewangan daripada JKM tetapi tidak tahu bagaimana prosedurnya dan berharap pihak JKM dapat membantu.
“Tawaran persembahan menyanyi sekarang dah tak banyak. Begitu juga perniagaan rendang yang saya buat sebelum itu, sudah lama dihentikan kerana kekangan kewangan dialami.
“Saya tiada rumah, tiada harta, tiada anak, tiada ibu bapa dan tiada semuanya. Kasihan betul hidup saya,” katanya yang kini tinggal menumpang di rumah anak angkatnya.
Zaiton berkata, dia juga ada memohon bantuan rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur tahun lalu, namun hingga kini masih tidak mendapat apa-apa jawapan daripada pihak berkenaan.
“Minta bantuan rumah pun tak dapat lagi, beginilah nasib saya. Apa pun, saya hanya mampu berdoa serta berharap agar ada pihak daripada JKM dapat membantu. Tolonglah saya,” katanya. – Agensi
