Penyanyi Zaiton Sameon berasa bersyukur kerana masih lagi menerima pelbagai undangan nyanyian meskipun usianya kini sudah mencecah 66 tahun.
Zaiton berkata, dia menerima banyak undangan untuk memeriahkan majlis makan malam selain turut menyanyi di majlis kahwin.
Malah bayaran yang diterima juga setimpal dengan persembahan yang dia lakukan.
“Alhamdulillah, undangan menyanyi masih ada. Majoriti banyak yang tawarkan untuk majlis makan malam tahunan, majlis kahwin pun ada.
“Kalau majlis makan malam tahunan yang meminta saya menyanyikan lagu Bahasa Cina pun saya boleh. Bayaran pun okey, setimpal,” katanya kepada mStar.
Zaiton berkongsi perkara itu ketika ditemui di Majlis Pelancaran Program Amal Sumbangan Rahmah Industri Muzik, baru-baru ini.
Kata Zaiton, rata-rata peminatnya seakan tidak percaya dia mampu menyanyi dengan baik selepas disahkan mengalami trauma kecederaan otak.
“Setengah orang tak percaya saya masih menyanyi. Saya masih ingat lagi lagu-lagu saya, saya tak perlu bantuan skrin semasa menyanyi,” katanya lagi.
Berkongsi tip menjaga ingatan dengan baik, penyanyi Menaruh Harapan itu memberitahu dia mengamalkan pengambilan kurma dan madu setiap hari.
“Saya banyak amalkan makan madu dan kurma, setiap pagi mesti akan ambil dua itu,” jelasnya. – Agensi