Wednesday, January 8, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zaitun tepi jalan, selamat dimakan?

    ATHENS – Tidak jauh dari salah satu lebuh raya tersibuk di Athens, pemandu yang lalu berhenti sejenak untuk menyaksikan pemandangan pertanian yang berlangsung di hadapan mereka di jalan-jalan Glyfada.

    Jaring-jaring diletakkan di atas tanah dan pekerja memetik buah zaitun di sebelah perhentian bas.

    Dengan ratusan pokok zaitun di sepanjang jalan-jalannya, idea telah diperoleh di kawasan pinggir laut ini untuk menuai buah zaitun bagi menghasilkan minyak untuk diberikan kepada rakyat miskinnya sejak sedekad lalu.

    Beberapa kawasan pinggir bandar Athens lain juga telah mengikut jejak langkah ini. Pelabuhan barat Patras turut melakukan perkara yang sama, dan bandar kedua terbesar di Greece, Thessaloniki, menyertai mereka tahun ini.

    “Selain daripada memastikan buah yang berharga ini tidak terbuang… usaha ini turut memelihara pokok-pokok zaitun dan melindungi pejalan kaki” daripada kemalangan di kaki lima yang licin, kata pihak berkuasa perbandaran Alimos di Athens ketika mereka membuat seruan untuk sukarelawan membantu menuai buah zaitun awal bulan ini.

    Pekerja majlis perbandaran menuai buah zaitun dari pokok-pokok yang ditanam di kaki lima Glyfada, selatan Athens, pada 21 November 2024. – AFP
    Sebahagian buah zaitun yang dikumpulkan di kawasan pinggir bandar Athens, Glyfada. – AFP
    Dengan ribuan pokok zaitun di sepanjang jalannya, majlis perbandaran kawasan pantai yang memiliki hampir 90,000 penduduk ini mendapat idea untuk menuai buah-buahan tersebut bagi menghasilkan minyak untuk rakyat miskinnya sejak sedekad lalu. – AFP
    Sekumpulan pekerja dari daerah bandar Glyfada terlibat dalam aktiviti pertanian luar biasa yang menarik perhatian pemandu yang lalu. – AFP

    Sebagai bahan utama dalam diet Mediterranean selama berabad-abad, sebotol minyak zaitun satu liter kini berharga antara AS$9.50 hingga AS$19 di rak pasar raya di Greece.

    Namun, hasil tuaian zaitun Glyfada, dianggarkan sekitar satu tan buah zaitun tahun ini, diberikan secara percuma.

    “Ini adalah minyak yang baik… seluruh Greece menghasilkan minyak zaitun yang berkualiti,” kata Stavros Giakoumakis, timbalan datuk bandar majlis itu untuk kehijauan, yang telah mengawasi projek ini sejak tahun 2014.

    “Tanah kita adalah tanah yang subur, kawan-kawan. Apa sahaja yang kita tanam pasti tumbuh,” ujar lelaki berusia 70 tahun itu, yang turut menghasilkan minyak zaitun dari pokok-pokok zaitunnya sendiri di pulau asalnya, Crete.

    “Jika setiap perbandaran melakukan perkara yang sama, keluarga yang memerlukan akan mempunyai bekalan minyak zaitun mencukupi untuk setahun,” tambahnya.

    Penduduk tempatan, Eleni Papachristopoulou, yang berpindah ke kawasan itu pada tahun 1970an, berkata pokok-pokok di jalan tempat tinggalnya ditanam lebih 50 tahun lalu.

    “Selama bertahun-tahun, buah zaitun akan jatuh ke tanah dan tiada siapa yang memungutnya,” katanya.

    Bersama Sepanyol dan Itali, Greece adalah pengeluar utama minyak zaitun di EU dan mencatatkan penggunaan tahunan per kapita tertinggi dalam blok itu, iaitu sekitar 12 kilogram setiap orang, menurut data EU.

    Minyak zaitun jalanan Glyfada mempunyai rasa tajam dan memberi sedikit rasa pedih di tekak – kedua-duanya adalah tanda-tanda ketulenan.

    Namun, pakar kesihatan memberi amaran bahawa hasil tanaman yang ditanam di kawasan bandar perlu diuji untuk memastikan tiada bahan kimia berbahaya.

    Sebuah kumpulan pakar persendirian, Scientific Society of Olive Encyclopedists (4E), bulan ini memberi amaran bahawa “minyak zaitun yang diperoleh dari jalan dengan trafik yang tinggi… terdedah kepada bahan pencemar yang dalam kepekatan tinggi boleh menjadi bahan kimia berbahaya.”

    Kebimbangan utama adalah hidrokarbon aromatik minyak mineral (MOAHs), yang menurut Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Eropah boleh masuk melalui pencemaran alam sekitar dan berpotensi merosakkan DNA serta menyebabkan kanser.

    “Pokok zaitun di kawasan yang udaranya tercemar oleh gas ekzos mungkin mempunyai jumlah MOAHs yang meningkat dalam buahnya, dan seterusnya dalam minyak zaitun,” kata Constantinos Demopoulos, ahli 4E yang juga profesor emeritus dalam bidang biokimia dan kimia makanan di Universiti Athens.

    “Minyak zaitun tanpa label yang dijual secara tidak rasmi mungkin tidak memenuhi komposisi yang diperlukan, bukan kerana niat jahat tetapi akibat kejahilan. Saya sendiri tidak akan menggunakan minyak zaitun yang belum dianalisis, walaupun ia datang daripada rakan,” katanya kepada AFP.

    4E memberi amaran bahawa pihak majlis tempatan nampaknya tidak menyedari risiko ini, dan pemeriksaan minyak zaitun jalanan biasanya hanya tertumpu kepada keasidan dan ciri-ciri lain.

    Ujian tambahan untuk mengesan kehadiran hidrokarbon bahan api fosil memerlukan makmal yang lebih ‘khusus’ dan kos yang lebih tinggi, tambahnya.

    Di makmal kimia negara Greece, iaitu pihak berkuasa tertinggi dalam bidang ini, ujian keasidan berharga 20 euro, manakala ujian hidrokarbon aromatik berharga antara 150 hingga 180 euro.

    Papachristopoulou berkata beliau menyedari sepenuhnya perbahasan mengenai pencemaran ini.

    “Kami bimbang, sangat bimbang. Tetapi orang tetap makan (buah zaitun itu) — tidak lama lagi mereka mungkin tidak ada pilihan lain,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda