Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Antara perkara yang dinyatakan dalam Al-Quran, punca keberkatan hidup adalah membayar zakat yang mana harta yang diinfaqkan akan memberikan ketenangan dalam jiwa dan membersihkan hati.
Harta tidak akan habis atau berkurang kerana adanya keberkatan. Berkat bermaksud terbitnya kebaikan daripada Allah SWT dalam segala sesuatu seperti wujudnya air yang penuh berkat.
Justeru keberkatan itu lahir dari pelbagai sudut sama ada, harta benda yang diinfaqkan atau dizakatkan, insan pilihan Allah SWT, masa, tempat dan sebagainya. Oleh itu marilah kita sama-sama ke arah meraih keberkatan hidup demi bangsa, agama dan negara.
Perkara tersebut antara inti pati tazkirah yang dikongsikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama merangkap Ketua Unit Dakwah Daerah Belait, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa dari Masjid Kampung Sungai Liang, Daerah Belait semasa Program Malam Munajat kali ke-190 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Acara Malam Munajat disertai oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Juga hadir menyertai ialah para peserta Skim Bimbingan Lanjutan I Mualaf Siri ke-109 (Lelaki) dari PDI, ahli jawatankuasa takmir serta jemaah dari Masjid Kampung Sungai Liang dan beberapa buah masjid, surau serta balai ibadat di seluruh negara. Turut serta ialah warga KHEU bersama keluarga serta orang ramai yang mengikuti secara maya dari kediaman masing-masing.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah oleh Ketua Kampung Sungai Liang, Awang Mohammad Haszrin bin Bagol. Acara seterusnya, diteruskan dengan bacaan Surah Yasin dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid (SkiPPA), Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Abdul Hanan Rahmani bin Dahlan.
Doa Munajat dibacakan oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Awang Mohamad Aliyani bin Ismail, diikuti bacaan Selawat Tafrijiyyah oleh peserta mualaf. Acara kemudian diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Imam Tingkat III, Masjid Kampung Sungai Liang, Awang Mohd Ikhwan bin Irwandy. Malam Munajat secara mingguan setiap Sabtu malam Ahad ini menyeru umat Islam untuk memperbanyakkan istighfar, membaca Al-Quran serta merafakkan doa secara bersama bagi memohon keselamatan negara dan rakyat daripada segala bala dan penyakit berbahaya.
