Oleh Nurdiyanah R.
Hadirnya bulan keagungan yang tersiratnya kemanisan dan penuh dengan hikmah, itulah bulan Ramadan. Bulan penuh kemuliaan yang memberi banyak peluang kepada umat Islam untuk lebih mendekatkan diri kepada Maha Pencipta.
Pada bulan istimewa inilah, umat Islam selain menahan diri daripada lapar dan dahaga serta meningkatkan amalan bagi mendapatkan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT, ia juga memberi ruang dan peluang kepada kita untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dan salah satunya ialah kewajipan mengeluarkan zakat ke atas semua umat Islam yang cukup syarat untuk menunaikannya.
Zakat merupakan Rukun Islam yang keempat selepas berpuasa pada bulan Ramadan. Adapun pengertian zakat dari segi bahasa itu ialah suci, bersih, berkat, bertambah dan subur. Manakala dari segi istilah syarak pula ialah mengeluarkan harta dengan kadar mengikut syarat-syarat tertentu untuk diagihkan kepada golongan tertentu.
Zakat itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu zakat fitrah (zakat badan) dan zakat harta (zakat emas dan perak, binatang dan tanam-tanaman). Oleh yang demikian, mengeluarkan zakat itu hukumnya wajib ke atas setiap muslim yang mencukupi syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat, sama ada zakat fitrah ataupun zakat harta. Ini jelas diterangkan melalui firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 110 sebagaimana tafsirnya: “Dan kamu dirikanlah sembahyang dan bayarlah zakat.”


Hikmat di sebalik kewajipan zakat
Menyentuh mengenai zakat fitrah ini, umat Islam diwajibkan untuk mengeluarkannya bagi diri sendiri dan keluarga yang di bawah tanggungannya. Kewajipan zakat fitrah ini adalah untuk melengkapkan ibadat puasa kita agar diterima oleh Allah SWT.
Mengeluarkan zakat itu pastinya mengandungi hikmah-hikmah yang tertentu. Antaranya ialah untuk membantu orang lain yang kurang bernasib baik seperti fakir dan miskin agar dapat sama-sama merasakan dan mengecapi nikmat pemberian Allah SWT dan ini adalah salah satu cara untuk mengabdikan dan mendekatkan diri kepadaNya. Dari situ, ia juga mampu melahirkan rasa kasih sayang sesama Islam.
Selain itu, ia juga sebagai sumber kestabilan dan kemakmuran umat dan menandakan rasa kesyukuran atas nikmat Allah SWT serta bagi membersihkan hati daripada sifat bakhil. Di samping itu, ia juga dapat membersihkan dan menghapuskan sifat dendam dan hasad dengki orang-orang fakir miskin terhadap golongan yang berada. Dengan kesanggupan kita mengeluarkan sebahagian kecil daripada harta yang disayangi adalah dianggap sebagai satu amalan pengorbanan melalui harta benda demi menegakkan salah satu rukun Islam yang lima.
Zakat fitrah secara online
Oleh yang demikian, sebagai matlamat bagi memudahkan masyarakat Islam di negara ini untuk menunaikan kewajiban zakat fitrah dengan menjimatkan masa dan keselamatan kewangan, Majlis Ugama Islam Brunei, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah memperkenalkan satu alternatif bagi pembayaran zakat fitrah iaitu perkhidmatan pembayaran zakat fitrah secara online pada awal bulan April lalu.
Perkhidmatan tersebut merupakan kerjasama antara KHEU, Datastream Digital Sdn Bhd (DST) dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) yang telah membolehkan orang ramai menggunakan dua kaedah pembayaran zakat fitrah secara online iaitu melalui BIBD QuickPay dan melalui sistem perkhidmatan eZakat DST yang mana mula digunakan sejak 1 Ramadan lalu sehingga 28 Ramadan 1442 Hijrah ini. Mereka juga boleh menggunakan pembayarannya melalui sistem perkhidmatan TAIB Zakat Fitrah Online dan juga Progresif PAY.
Dalam pada itu, meskipun zakat fitrah secara online mula dilaksanakan pada Ramadan tahun ini, kaedah pembayaran zakat fitrah melalui amil-amil di masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat atau di rumah-rumah amil akan masih tetap berjalan se-perti biasa sepertimana pada tahun-tahun yang sudah.
Tunaikanlah kewajiban sebaiknya
Oleh itu, sesiapa yang mengingkari ketetapan hukum wajib zakat itu boleh menyebabkan terkeluar daripada agama Islam dan berdosa besar sehingga mereka akan menerima balasan yang amat pedih di akhirat kelak.
Antaranya dililit ular pada Hari Kiamat; dahi, rusuk dan belakang diseterika dengan emas dan perak yang dibakar pada Hari Kiamat; dan dilaknat oleh Rasulullah SAW sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ali R.A., beliau berkata yang maksudnya: “Rasulullah melaknat 10 golongan iaitu pemakan riba, pemberi makan riba, pencatit riba, kedua saksi riba, pengambil upah cina buta dan suami yang mengupah cina buta, orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat, pembuat tatu dan orang yang minta ditatu.” (Hadis riwayat Ahmad).
Sehubungan dengan itu, orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat juga menjadi satu kesalahan di Negara Brunei Darussalam. Sebagaimana disebutkan dalam Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013, bahagian IV, penggal IV, kesalahan-kesalahan am, bab 236, seperti berikut:
236. (1) Mana-mana orang Islam yang setelah ditaksirkan dengan sah sebagai wajib untuk membayar zakat atau fitrah di bawah Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi (Penggal 77) dan gagal untuk memperolehi secara rayuan atau selainnya, pembatalan atau pengubahsuaian bagi penaksiran demikian, dengan sengaja gagal untuk membayar zakat atau fitrah tersebut adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $8,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Oleh yang demikian, apabila syarat-syarat wajib zakat sudah mencukupi, kita hendaklah mengeluarkannya. Janganlah kita kikir atau kedekut mengorbankan sedikit harta untuk berzakat sedangkan mengeluarkan zakat itu membawa keberkatan pada harta kita. Ingatlah bahawa orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat itu bukan sahaja mendapat hukuman di dunia bahkan juga balasan di akhirat.