Penyanyi, Zaki Yamani, 16, tidak akan sesekali menggunakan status ayahnya iaitu raja pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah sebagai jalan pintas untuk popular dan diterima dalam industri muzik.
Kata Zaki atau nama penuhnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, dia ingin membina nama dengan usaha sendiri tanpa menggunakan kelebihan sebagai anak kepada penyanyi tersohor itu.
“Saya tolak tepi status sebagai anak seorang berpangkat Datuk atau raja pop negara. Itu gelaran yang dipegang ayah dan saya tidak menganggap itu sebagai kelebihan untuk mudah mencipta nama.
“Saya usaha sendiri, buat content untuk media sosial dan dari situ, orang kenal tanpa perlu dedahkan siapa ayah saya. Alhamdulillah, saya terima banyak tawaran menyanyi walaupun sebelum ini, ramai yang tidak tahu saya anak kepada Jamal Abdillah,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Konsert Gemilang Datuk Jamal Abdillah bersama UTM Holdings Sdn. Bhd.
Dalam konsert yang akan berlangsung di Grand Banquet Hall, Residensi UTMKL pada 9 Disember itu, Zaki bakal berkongsi satu pentas dengan bapa dan abangnya, Osama Yamani.
Disoal tentang pelajaran, Zaki memberitahu, dia mengikuti kelas tuisyen pada setiap malam untuk memastikan dirinya tidak ketinggalan.
“Sekolah waktu pagi, petang pula ada kala saya perlu memenuhi undangan nyanyian. Selepas sekolah, saya akan lelap sebentar, rehat diri sebelum pergi bekerja.
“Saya akan hadir kelas tuisyen pada sebelah malam untuk pastikan saya dapat mengikuti pembelajaran dengan baik dan tidak ketinggalan.
“Memang penat, tetapi saya perlu bekerja untuk ibu yang kini menguruskan kerjaya saya sebagai penyanyi,” katanya. – Agensi