Mungkin bagi sesetengah selebriti terbuka berkongsi keputusan peperiksaan, sebaliknya penyanyi Zaki Yamani lebih selesa merahsiakan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diperoleh Mei lalu.
Zaki atau nama sebenarnya, Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 18, berkata, dia memilih menyimpan perkara itu sebagai privasi miliknya.
“Sebenarnya lebih baik saya tidak beritahu keputusan SPM sebab memang sejak awal lagi, bila ditanya soal sasaran, saya pun tak nak beritahu, tapi ramai memaksa. Tak mengapa benda yang lepas saya biarkan.
“Bagi saya, ia adalah privasi dan tidak semua perkara boleh dihebohkan. Saya memilih tidak beritahu dan saya hanya memikirkan masa depan sahaja,” katanya kepada BH Online.
Sebelum ini, anak kepada penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah itu secara terbuka berkongsi sasaran SPM sebanyak 7A, namun memilih tidak berkongsi sebaik sahaja keputusan peperiksaan diumumkan.
Berkongsi perancangan masa depan, Zaki berkata, dia sudah menerima tawaran dari beberapa institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) dan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA). Justeru, kini, dalam proses pemilihan dan pertimbangan.
“Alhamdulillah, saya ditawarkan menyambung pengajian di beberapa universiti sama ada IPTA dan IPTS. Ada juga menawarkan saya menjadi duta.
“Insya-Allah, saya akan cuba cari jurusan bersesuaian sebab saya berhasrat mendalami bidang muzik, bukan hanya nyanyian,” katanya ketika pada acara Meet and Greet Zaki Yamani, di ibu kota, baru-baru ini.- Agensi
