Wednesday, September 25, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zaki, Yamani rampas takhta Duo terbaik

    Anak Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah iaitu Zaki Yamani dan Yamani Abdillah yang juga bekas juara episod pertama musim lalu, kembali merampas takhta duo terbaik pada minggu ketiga program realiti, Famili Duo, Ahad lalu.

    Dua beradik itu membawa pulang hadiah juara mingguan sebanyak RM10,000.

    Corak persembahan mereka yang mendendangkan lagu Khayalan nyanyian asal kumpulan Black Dog Bone, membawa penonton mengimbau kembali memori era 1960an dan 1970an dengan gaya dan tarian retro tersendiri.

    Minggu ketiga Famili Duo ini menyaksikan tujuh pasangan selebriti popular berentap membawa persembahan bertemakan ‘Retro 60an & 70an’.

    Titik peluh Zaki dan Yamani membuahkan hasil lantas membawa mereka menduduki tempat ketiga dengan markah keseluruhan 165.8 peratus.

    Zaki Yamani dan Yamani Abdillah kembali merampas takhta duo terbaik pada minggu ketiga program realiti, Famili Duo, Ahad lalu.

    Zaki dan Yamani masing-masing bersyukur atas rezeki yang berpihak kepada mereka.

    “Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada kami minggu ini (Ahad lalu) walaupun juri tegur kami buat beberapa kesilapan dalam persembahan,” ujarnya.

    “Namun, kami amat bersyukur dan kami anggap kemenangan yang tak disangka ini adalah rezeki atas titik peluh kami.

    “Kami amat berterima kasih juga kepada peminat yang tidak henti-henti mengundi. Kejayaan ini tidak akan terhasil tanpa awda semua,” kata Zaki.

    Selain mereka, pasangan Sabhi Saddi dan FareedPF K-Clique turut menarik perhatian ramai dengan persembahan memukau yang menerapkan tema hitam dan putih ketika mendendangkan lagu Mas Mona.

    Sabhi dan FareedPF menduduki tangga kedua dengan markah 61.6 peratus. Mereka menerima komen positif daripada juri, Ajai dan Mas Idayu.

    Dua beradik iaitu Bella Astillah dan Wani Kayrie yang mendendangkan lagu I Will Survive menduduki tempat ketiga dengan markah 61.5 peratus.

    Minggu ketiga Famili Duo diceriakan dengan persembahan kumpulan Dolla yang membawa lagu Sudi dan Dolla Make You Wanna sebagai persembahan penutup. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda