MELAKA, 24 JULAI – Atlet karate muda Malaysia Zakiah Adnan teruja apabila namanya terpilih mewakili Malaysia untuk beraksi pada Sukan Asia di Hangzhou, China bermula 23 September hingga 8 Oktober ini.
Zakiah, 20, yang mengakui terkejut dengan pengumuman itu, berazam memberikan prestasi terbaiknya untuk bersaing dengan atlet yang lebih senior dan hebat sebagai membalas kepercayaan diberikan.
“Sebelum ini saya rasa saya ini tidak ada apa-apa, tapi dengan pemilihan ini dan kejayaan meraih pingat gangsa di Kejohanan Sukan Karate Asia (AKF) 2023 ia menaikkan lagi semangat saya,” katanya kepada pemberita ditemui selepas kejohanan AKF yang berakhir semalam.
Semalam, Presiden Persatuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad mengumumkan pemilihan Zakiah selepas atlet itu berjaya merangkul pingat gangsa dalam acara Kumite bagi kategori 61 kilogram pada kejohanan itu.
Nur Azmi menunaikan janjinya untuk memberikan slot di Sukan Asia sekiranya anak buahnya berjaya menyumbang pingat di AKF, selain akan turut membawa kesemua atlet terpilih bertanding di tiga kejohanan di Tunisia, Maghribi dan Eropah sebagai persiapan.
Bagi Zakiah, tempoh berbaki dua bulan sebelum temasya itu akan digunakan untuk memantapkan teknik serta memperbaiki kelemahannya. – Bernama
