Saturday, November 9, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zamani buat peminat cemas

    Vokalis Kumpulan Slam, Zamani membuat peminatnya panik apabila memaklumkan dirinya tidak sihat ketika menjayakan Konsert Slam Nurkasih di Zepp Kuala Lumpur, semalam.

    Pengumuman mengejutkan dibuat gitaris Slam, Lily apabila penyanyi utama tidak muncul di pentas untuk segmen ‘encore’ selepas namanya beberapa kali dipanggil.

    Susulan itu, suasana menjadi agak kecoh apabila penonton melahirkan kegusaran kerana bimbang penyakit dideritai Zamani berulang kembali.

    Bagaimanapun, keadaan kembali reda apabila menyedari pengumuman itu sekadar gimik untuk mengusik penonton apabila pemilik nama sebenar, Zamani Ibrahim muncul, sekali gus menunaikan permintaan peminat yang belum puas menyaksikan kumpulan Slam beraksi.

    Untuk segmen itu, Zamani menyampaikan lagu Mentari Muncul Lagi dan Kembali Terjalin yang menjadi lagu menutup tirai konsert berdurasi dua jam itu.

    Zamani turut mengembalikan nostalgia peminat menerusi lagu hits Slam seperti Buat Seorang Kekasih, Suratan, Kurnia, Rindiani, Jika Kau Rasa Getarnya, Kita Terpaksa Bermusuhan dan Maria Mariana yang menyaksikannya mengundang dua penonton wanita menyanyi bersama.

    Enggan membiarkan peminat hanyut dalam balada syahdu, Zamani turut menyampaikan beberapa lagu rancak iaitu Kembali Merindu, Manisnya Rindu, Entah Mengapa dan Nurkasih untuk menghangatkan lagi suasana konsert.

    Meskipun Zamani menyatakan konsert anjuran AV Group & WMD Event ini akan berhenti rehat seketika, namun Slam memutuskan meneruskan persembahan berikutan tidak mahu mengganggu ‘mood’ penonton.

    “Sepatutnya kami berhenti berehat, tapi tak mahu ‘potong’ mood penonton, jadi kami teruskan sahaja persembahan,” katanya sambil disambut dengan sorakan penonton. – Agensi

    Zamani mengembalikan nostalgia menerusi lagu hit Slam sepanjang dua jam konsert berlangsung. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda