Selepas menjalani prosedur angiogram sebanyak tiga kali, pelakon Zamarul Hisham memberitahu tiga saluran jantungnya kini sudah kembali pulih seperti sediakala.
Zamarul atau nama penuhnya Zamarul Hisham Mohamed, 54, berkata dia juga boleh melakukan rutin harian dengan bersenam sebagai persiapan diri untuk filem terbaharu.
“Alhamdulillah saya sudah beransur okay selepas lakukan angiogram kali ketiga pada April lalu. Saya sudah pergi ke gim dan mula bersenam serta kembali berkerja,” katanya kepada mStar.
Menurut Zamarul, pengalaman mengalami serangan jantung buat kali kedua telah menjadi pendorong dia mula mengamalkan gaya hidup sihat. Selain lebih berhati-hati terhadap pemilihan pemakanan, dia juga nekad mengambil keputusan untuk berhenti merokok.
“Sebenarnya saya degil, masa pertama kali lakukan stent ketika bulan Februari, saya ingat sudah okay. Jadi saya masih merokok dan belasah semua perkara. Tapi bila kena serangan jantung buat kali kedua ketika bangun tidur di rumah, saya mula ubah gaya hidup saya.
“Sekarang pun saya sudah buat brisk walk, sebelum ini tak pernah buat langsung. Setiap petang atau pagi mesti akan buat sekurang-kurangnya empat atau lima kilometer, baru rasa sedap badan,” ujarnya.
Sebagai amalan makanan harian, Zamarul kurang dalam pengambilan gula dan lebih banyak makan sumber protein seperti telur pada setiap pagi. Meskipun begitu, dia tetap peka dan sentiasa mengikut nasihat doktor supaya tahap kesihatannya sentiasa terjaga.
Jelasnya tempoh pemulihan yang disarankan doktor harus dipatuhi sebelum dia dibenarkan terlibat dalam sebarang aktiviti fizikal yang berat.
“Kerisauan masih ada, sama ada saya benar-benar sudah pulih atau belum. Doktor pun pesan selepas tiga bulan buat stent baru rasa hidup baru dan kuat macam dulu. Bila dah sihat, nak masuk pertandingan Ironman pun boleh. Asalkan saya jaga pemakanan dan buang gaya hidup tak sihat, ” kongsinya.
Pada Februari lalu, Zamarul dilaporkan mengalami sesak nafas di set penggambaran drama di Port Dickson, Negeri Sembilan disebabkan serangan jantung. – Agensi
