Pelakon Malaysia, Zamarul Hisham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di Negeri Sembilan, jam 2 pagi semalam kerana mengalami sesak nafas ketika di lokasi penggambaran.
Isterinya yang juga pelakon, Diana Rafar ketika dihubungi berkata, dia mendapat tahu suaminya mengalami kesukaran bernafas dan lemah ketika dihubungi pihak produksi berkenaan, lapor HM Online.
“Suami sukar bernafas ketika penggambaran dan pihak produksi hubungi saya beritahu suami sakit, lemah dan susah bernafas. Mereka juga hubungi ambulans untuk bawa suami ke hospital berhampiran.
“Secara kebetulan, saya ikut sekali suami menjalani penggambaran dan bercuti sekali di sini bersama anak-anak,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya mengenai keadaan Zamarul, Diana berkata, buat masa ini, Zamarul masih dirawat di ICU sejak semalam.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P18-2A-HibGlam_07022025.jpg)
“Dia tidak memakai alat bantuan pernafasan dan boleh bernafas macam biasa. Doktor masih merawatnya untuk mengetahui punca dia sukar bernafas dan mengesan penyakitnya itu,” katanya.
Menurut petikan dari mStar Online, Diana memaklumkan Zamarul tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan malah seorang individu yang aktif.
“Saya dapat bertemu dengannya dan Alhamdulillah dia berada dalam keadaan sedar.
“Sebelum ini suami tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan malah dia sangat aktif dan tidak boleh duduk diam orangnya.
“Jadi saya sedang menanti apa kata doktor tentang keadaannya,” katanya ketika dihubungi mStar pada Khamis.
Terdahulu, Diana memuat naik hantaran di Instagram Story memohon doa daripada pengikutnya untuk mendoakan kesembuhan suaminya yang dikejarkan dengan ambulans ke hospital.
“Moga doa kalian semua tiada apa yang serius kepada abang Zamarul Hisham Mohamed,” tulisnya. – Agensi