Sunday, December 22, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zamrud Aga Khan termahal di dunia

    GENEVA, 13 NOV – Sebutir batu zamrud 37 karat empat segi yang jarang ditemui milik Aga Khan berjaya dijual pada harga hampir AS$9 juta dalam satu acara lelongan di Geneva, menjadikannya batu zamrud termahal di dunia.

    Dijual oleh rumah lelongan Christie’s, kerongsang Cartier bertatahkan zamrud dan berlian itu – yang juga boleh dipakai sebagai loket – kini mengatasi nilai perhiasan Bulgari yang pernah diberikan oleh Richard Burton kepada aktres Elizabeth Taylor sebagai zamrud paling bernilai dalam sejarah lelongan.

    Pada tahun 1960, Putera Sadruddin Aga Khan telah meminta Cartier untuk memasang zamrud dalam kerongsang bersama 20 berlian potongan marquise untuk Nina Dyer, seorang sosialit Britain yang pernah dikahwininya.

    Dyer kemudian melelong zamrud tersebut pada tahun 1969 bagi mengumpul dana untuk membantu haiwan.

    Secara kebetulan, lelongan itu merupakan jualan pertama Christie’s di Switzerland yang diadakan di tepi Tasik Geneva, dan zamrud itu kembali dalam edisi ke-110 lelongan tersebut pada tahun ini.

    Permata berharga itu telah dibeli oleh Van Cleef & Arpels sebelum berpindah ke tangan ahli perniagaan Amerika Syarikat, Harry Winston, yang dikenali sebagai ‘Raja Berlian’.

    “Zamrud kini menjadi tumpuan, dan batu ini memenuhi segala kriteria yang dicari,” kata Ketua Bahagian Perhiasan Christie’s EMEA, Max Fawcett.

    “Kita mungkin hanya melihat zamrud berkualiti seperti ini muncul dalam lelongan setiap lima atau enam tahun sekali,” tambahnya.

    Rekod sebelumnya dipegang oleh zamrud bertatah berlian yang dijual pada harga AS$6.5 juta dalam koleksi perhiasan ikonik milik legenda Hollywood, Elizabeth Taylor, di New York. – AFP

    Zamrud milik Aga Khan berbentuk segi empat seberat 37.00 karat, dengan berlian berbentuk marquise, platinum dan emas kuning 18k, dipamerkan di Geneva pada 7 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda