PARIS, 16 SEPT – Zandvoort, Singapura dan Montreal akan menjadi tuan rumah perlumbaan pecut Formula Satu (F1) buat kali pertama pada musim 2026, menurut pengumuman Formula Satu dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) hari ini.
Tiga venue itu akan bergabung dengan Shanghai dan Miami yang menganjurkan saingan tersebut sejak dua musim lalu, serta Silverstone yang kali terakhir menjadi tuan rumah pecut pada 2021.
Musim depan bakal menyaksikan tahun keenam perlumbaan pecut yang semakin mendapat sambutan sebagai tambahan kepada hujung minggu Grand Prix (GP).
Mengikut format, sesi kelayakan pecut berlangsung pada Jumaat selepas latihan pertama, dengan perlumbaan pecut serta kelayakan bagi GP utama pada Sabtu. Pemenang perlumbaan pecut akan mengutip lapan mata sehingga satu mata diberikan kepada pelumba di tempat kelapan.
Shanghai akan membuka tirai musim pecut 2026 menerusi GP China pada 13 hingga 15 Mac, diikuti Miami (1 hingga 3 Mei), Kanada (22 hingga 24 Mei), Silverstone (3 hingga 5 Julai), Zandvoort (21 hingga 23 Ogos) dan Singapura (9 hingga 11 Oktober).

Ketua Eksekutif F1, Stefano Domenicali berkata perlumbaan pecut terus menunjukkan perkembangan positif serta populariti sejak diperkenalkan pada 2021.
Dia menambah, dengan empat sesi kompetitif berbanding dua pada hujung minggu konvensional, acara pecut menawarkan lebih banyak aksi setiap hari untuk peminat, rakan penyiar dan penganjur, sekali gus meningkatkan kehadiran serta jumlah tontonan.
Musim 2026 juga akan memperkenalkan set peraturan baharu yang menambah ketidakpastian terhadap pasukan mana yang mampu menyesuaikan diri dengan generasi kereta terbaharu.
Kali terakhir landskap teknikal berubah pada 2022 menyaksikan Red Bull dan Max Verstappen mendahului saingan berbanding pencabar lain. Format itu turut mendapat sambutan dalam MotoGP yang menganjurkan perlumbaan pecut pada setiap hujung minggu. Musim F1 2026 akan bermula dengan GP Australia di Melbourne pada 8 Mac.
Ketika ini, McLaren mendominasi musim 2025 dengan Oscar Piastri mendahului rakan sepasukannya Lando Norris sebanyak 31 mata menjelang pusingan ke-17 daripada 24 perlumbaan di Azerbaijan hujung minggu ini. – AFP

