Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zara Qairina ditemukan di longkang, tidak sedarkan diri – Pengawal

    KOTA KINABALU, 10 SEPT – Seorang pengawal keselamatan memberitahu Mahkamah Koroner hari ini, yang dia menemukan Allahyarham Zara Qairina Mahathir terlentang di longkang dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tengkuknya berdarah, kira-kira 3 pagi pada 16 Julai lepas.

    Linah Mansoding @ Jaliha, 65, yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar sejak 1 Julai 2012 berkata pada hari kejadian kira-kira 2 pagi, dia membuat rondaan di asrama perempuan Blok Rabiatul Adawiyah dan mendapati tiada sebarang insiden luar biasa berlaku.

    “Saya kemudian bergerak ke blok asrama bersebelahan, iaitu Blok Sumayyah yang merupakan asrama perempuan untuk membuat rondaan seterusnya,” katanya yang bertugas dari 8 malam pada 15 Julai hingga 8 pagi, 16 Julai lepas.

    Linah berkata kira-kira 3 pagi, semasa berada di asrama Blok Sumayyah, dia dimaklumkan oleh seorang pelajar ada seorang pelajar perempuan pengsan di longkang berhampiran Blok Rabiatul Adawiyah.

    Wanita berkenaan berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya di hadapan Koroner Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan pada hari kelima prosiding inkues berhubung kematian remaja itu. 

    “Saya terus bergegas ke asrama berkenaan dan mendapati seorang pelajar perempuan yang dikenali sebagai Zara terlentang di dalam longkang asrama dalam keadaan tidak sedarkan diri,” kata warga emas berkenaan. – Bernama

    Patung yang digunakan bagi membuat simulasi untuk menggambarkan keadaan Allahyarham Zara Qairina dibawa pada prosiding inkues di Mahkamah Koroner pada 10 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda