Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zara Qairina: Lima remaja berdepan tuduhan buli

    KOTA KINABALU, 20 OGOS – Lima remaja perempuan bawah umur didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak pagi ini, berhubung kes buli pelajar Zara Qairina Mahathir.

    Mereka yang berumur di bawah 18 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan iaitu berhubung kesalahan menggunakan atau membuat apa-apa perkataan atau komunikasi yang mengancam, kesat atau menghina.

    Kesemua remaja itu tiba di pekarangan mahkamah menaiki sebuah van diiringi kenderaan polis pada 8:25 pagi.

    Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah meneliti kertas siasatan kes kematian pelajar itu yang dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan memutuskan untuk menuduh beberapa suspek berdasarkan keterangan yang ada.

    AGC turut memaklumkan prosiding inkues masih perlu dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian Zara Qairina.

    Mahkamah Koroner pada Isnin lalu telah menetapkan 3 September ini untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina.

    Pada 12 Ogos, AGC memutuskan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha itu, selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh PDRM berhubung kes tersebut. – Bernama

    Van yang membawa lima remaja berkaitan pertuduhan kes Zara Qairina Mahathir di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda