Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Zarco juara MotoGP Australia

    PHILLIP ISLAND, 22 OKT – Johann Zarco dari Perancis memenangi MotoGP Australia yang mendebarkan kelmarin dengan melakukan pemintasan pada pusingan terakhir untuk meraih kemenangan sulung mendahului Itali Francesco Bagnaia, yang melebarkan pendahuluan kejuaraan dunianya.

    Pelumba Ducati-Pramac itu memintas rakan sepasukannya dan pencabar kejuaraan dunia, Jorge Martin dalam pusingan akhir yang mendebarkan untuk memenangi perlumbaan, hanya 0.201 saat di depan Bagnaia yang menunggang jentera Ducati.

    “Saya terkejut melihat prestasi Martin semakin merosot, jadi saya fikir ada kemungkinan untuk menang,” kata Zarco yang berusia 33 tahun selepas menang akhirnya dalam grand prix ke-120nya.

    “Untuk menjadi yang pertama melintasi garisan penamat selepas banyak perlumbaan, ia adalah sesuatu yang penuh dengan emosi. Saya tidak mahu menangis buat masa ini, tetapi saya rasa ia akan datang.

    “Ini adalah litar yang digemari oleh semua orang, dan jika awda boleh menang di sini, awda rasa awda adalah sebahagian daripada pelumba terhebat,” tambahnya.

    Pelumba muda Gresini, Fabio Di Giannantonio menduduki tempat ketiga di Phillip Island yang berangin dan mendung untuk podium pertamanya. Brad Binder dari KTM meraih tempat keempat, dengan masa kurang satu saat yang memisahkan pemenang empat teratas.

    Pemula petak pertama, Martin mendahului untuk 26 pusingan dalam perlumbaan 27 pusingan, tetapi tayar belakangnya yang lembut sudah terlalu haus dan dia tidak dapat bertahan kerana cengkaman tayarnya hilang. Kebanyakan pelumba lain menggunakan tayar belakang sederhana, yang tahan lebih lama. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...