Minat dan sering memuat naik kandungan kerjaya industri penerbangan demi memberi kesedaran kepada masyarakat memberi tuah kepada penyanyi dan pelakon, Zarul Umbrella apabila dilantik sebagai felo Pusat Latihan Teknikal MEATECH.
Zarul berkata, dia tidak mampu menolak atas dasar mahu melihat pelajar jurusan penerbangan menyelami dunia pekerjaan sebenar menerusi pengalamannya sebagai bekas pramugara selama 16 tahun.
“Sejujurnya, saya tidak menyangka minat berkongsi kerjaya atas awan dalam laman YouTube membuatkan orang luar melihat saya seperti ikon dalam dunia penerbangan.
“Ia juga menyebabkan saya dilantik sebagai felo selama setahun untuk pengalaman selama 16 tahun sebagai pramugara penerbangan Malaysia Airlines.
“Tugas diamanahkan bakal menyaksikan saya berkongsi pengalaman dan mendedahkan pelajar jurusan ini kepada realiti sebenar industri penerbangan,” katanya kepada media.

Bekas vokalis kumpulan Umbrella itu berkata, industri penerbangan bukan sekadar juruterbang, pramugara, pramugari dan pekerja barisan hadapan di lapangan terbang.
“Ia sangat luas membabitkan industri kargo dan perkhidmatan pengendalian darat yang bukan hanya di Malaysia, malah, seluruh dunia,” katanya.
Mengulas masa depan pelajar jurusan penerbangan berikutan pandemik COVID, Zarul optimis peluang membina kerjaya terbentang luas.
“Ramai kakitangan industri penerbangan dibuang kerja, malah, ada bekerja tanpa gaji ketika serangan pandemik COVID dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Kita dapat melihat kebanyakan bekas kakitangan penerbangan beralih arah dalam bidang lain, termasuk memulakan perniagaan.
“Namun, mereka dipanggil bekerja semula selepas pandemik beransur pulih. Sudah tentu masih banyak ruang kosong boleh diisi pelajar ini.
“Satu kelebihan pelajar baharu kerana dilatih secara profesional oleh pensyarah yang berpengalaman luas dalam industri penerbangan,” katanya yang baru muncul dengan lagu kerohanian berjudul Syuhud Qalbu bersama Fitri Haris.
Zarul dilantik sebagai felo MEATECH pada majlis pelancaran program Diploma Industri Penerbangan sempena kempen YEG Pesta Sambung Belajar #jangansalahpilihbidang, YEG Academy di Johor Bahru, baru-baru ini.
Menerusi kempen itu, YEG Academy yang bekerjasama dengan MEATECH sejak 2018 menawarkan pelbagai diploma dalam bidang penerbangan. – Agensi