Pernah melakonkan watak suami memiliki ramai isteri dan hidup berpoligami, pelakon Zarul Umbrella sering menerima pertanyaan daripada peminat yang ingin mengetahui reaksi isterinya apabila dia membawa karakter berkenaan.
Menjawab mengenai persoalan itu, Zarul atau nama sebenarnya Zairulkefli Husin, 50, berkata isterinya iaitu Intan Nur Fathihah sangat memahami dan mengetahui kerjayanya sebagai seorang pelakon.
Memandang isu poligami ini sedang hangat diperkatakan, Zarul yang juga merupakan vokalis kumpulan Umbrella ini mengakui turut terkena tempias gara-gara lakonannya dalam drama sebelum ini.
“Ramai yang bertanya tentang perasaan isteri apabila saya bawa watak suami berpoligami. Setakat ini syukur isteri saya memahami. Dia pun sudah lali,” ujarnya.
“Kebetulan watak saya sama dengan apa yang sedang panas diperkatakan sekarang. Poligami ini sebenarnya adalah realiti kehidupan, kalau tidak ada, maka tidak ada orang akan bawa isu ini dalam drama,” tambahnya.
“Tentang poligami, saya bukanlah seorang yang layak untuk bercakap isu ini. Apa yang boleh saya katakan ambillah perkara tidak elok itu sebagai satu pengajaran buat kita,” katanya kepada mStar.
Jarang berkongsi kisah peribadi di laman sosial, Zarul memberitahu itu merupakan salah satu cara agar dia tidak terlibat dengan sebarang kontroversi.
Tambahnya, jika ada masalah yang berlaku dalam hubungan, Zarul lebih selesa menyelesaikan secara dalaman tanpa menghebahkannya kepada umum.
“Mungkin saya jarang berkongsi mengenai perihal rumah tangga saya, jadi disebabkan tiada yang bercakap mengenainya. Isteri saya pun boleh bertoleransi dan memahami,” katanya.
“Boleh dikatakan setiap anak seni itu ada pasang surut, mungkin ada seketika nama terpalit dengan benda tak baik. Apa yang perlu disimpan, simpanlah,” ujarnya.
Bercakap mengenai karier, Zarul kini juga menjadi salah seorang felo di pusat latihan teknikal Meatech di mana dia terlibat untuk berkongsi pengalaman 16 tahun bekerja sebagai pramugara.
Mula menceburi bidang baharu itu sejak setahun lalu, Zarul seronok berkongsi ilmu dengan anak muda yang berminat dengan kerjaya berkenaan.
“Dalam setiap sesi perkongsian, saya banyak menerapkan bahawa perlu ikhlas ketika menjalankan tugas di mana-mana sahaja dalam bidang penerbangan kerana kita banyak berkomunikasi dengan orang,” jelasnya.
Meatech merupakan salah satu institusi yang bekerjasama dengan YEG Academy Sdn Bhd sebagai satu platform buat anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi membuat pilih untuk sambung belajar peringkat diploma. – Agensi