Berbakat, cantik dan bersih kontroversi, namun entah di mana silapnya, perjalanan kerjaya seni Zarynn Min tidak sehebat nama lain.
Bertahun mengumpul pengalaman, tuah masih belum menyebelahinya untuk mendaki puncak. Dia juga sukar meraih peluang besar, meskipun bakatnya diakui penerbit dan pengarah. Lebih 17 tahun mencipta nama, Zarynn akur, kerdipan bakatnya tidak terlalu menyerlah.
“Pada usia 40 tahun, saya bernasib baik kerana tawaran masih ada. Mungkin bukan watak utama, tetapi saya tetap mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah.
“Dari sudut bayaran, Alhamdulillah tidak terlalu tinggi, tetapi tidak juga terlalu rendah. Ia bersesuaian dengan pengalaman kerana saya akur, nama saya tidak terlalu popular.
“Saya tidak boleh terlalu meminta kerana di luar sana, persaingan sangat besar. Saya hanya mempertaruhkan bakat dan disiplin.

“Jika diukur jumlah pengikut di laman sosial, saya jauh ketinggalan berbanding bakat baharu. Saya akur apabila sering terlepas peluang membawa watak utama kerana nama saya tidak mampu menarik penonton,” katanya.
Zaryn atau nama sebenarnya, Noraszarina wati Tumin berkata, dia sentiasa mengukur baju di badan sendiri. Meskipun pernah membintangi drama yang mendapat jumlah tontonan tinggi, Zaryn akur, namanya tidak popular.
“Saya faham jika stesen televisyen atau penerbit memilih pelakon yang mempunyai jumlah pengikut yang tinggi untuk menaikkan rating sesebuah naskhah.
“Ketika mula bertapak, saya hanya mempertaruhkan bakat, memandangkan pada masa itu, belum ada media sosial. Ketika drama Kan Ku Kejar Cintamu yang diterajui Fendy Bakry dan Amyra Rosli meledak, saya turut mendapat tempias apabila jumlah pengikut bertambah,” katanya.
Zarynn berkata, istilah putus asa tidak pernah ada dalam kamus hidupnya. Meskipun ada segelintir pelakon seangkatan yang kecewa, malah hampir mengalah apabila tidak mendapat peluang, Zarynn sebaliknya, sentiasa positif.
“Saya selalu ingatkan diri, kalau bukan rezeki hari ini, mungkin hari lain saya akan mendapatnya. Mungkin nanti akan datang tawaran lebih baik.
“Meskipun pahit jalan yang saya lalui, biarlah saya telan sendiri. Saya tidak mahu membiarkan diri terbeban dengan perasaan tidak puas hati,” katanya. Ditanya sampai bila mahu begitu, Zarynn berkata, dia tidak berani mengharap lebih. Namun, sebagai pelakon senior, Zarynn juga ingin melihat bakatnya diangkat pada tahap lebih baik.
“Saya perlu berpijak di bumi nyata. Tidak mengapa kalau tidak popular. Alhamdulillah, mungkin tidak ramai, tetapi ada yang juga kenal dan sedar kehadiran saya dalam industri hiburan.
“Saya cuma mampu memberikan contoh yang baik seperti menepati waktu, menjaga disiplin dan mempamerkan mutu persembahan membanggakan. Itu sudah memadai,” katanya. – Agensi