Saturday, July 27, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Zayn Rayyan: Polis rakam keterangan ibu bapa sekali lagi

    KUALA LUMPUR, 8 DIS – Polis sekali lagi mengambil keterangan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin semalam bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme itu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Fakhrudin Abd Hamid berkata, polis juga akan merekodkan keterangan beberapa pihak lain termasuk pengasuh Zayn Rayyan dan individu pertama yang menjumpai mayat kanak-kanak itu di aliran sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Rabu lepas.

    “Kita (polis) dalam proses mendapatkan keterangan secara fizikal dan apa-apa yang boleh membantu siasatan bagi mengesan suspek.

    “Siasatan untuk mencari bukti juga akan tertumpu kepada keseluruhan kawasan apartmen ini dengan keluasan kira-kira lapan hektar selain terhadap penghuni Blok R di Apartment Idaman yang berada dekat dengan lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Beliau yang sebelum itu turut meninjau lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan memaklumkan setakat ini belum ada sebarang rumusan berkaitan kes berkenaan berikutan keputusan bedah siasat baharu diperoleh semalam.

    Mohd Fakhrudin berkata Apartment Idaman mempunyai 18 blok dan lebih 2,400 unit rumah.

    Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan dikawal pihak polis dengan pita kuning larangan melintas dipasang di kawasan belukar dan anak sungai selain di Blok R di Apartment Idaman untuk mengelak gangguan di kawasan kejadian.

    Pasukan penyiasat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman turut kelihatan berada di kawasan kejadian sejak 9.30 pagi bagi mempergiat usaha mencari bukti terbaharu bagi melengkapkan siasatan. – Bernama

    ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid (kiri) meninjau lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...