Zazo Maulana tak kejar populariti

Nama penyanyi Zazo Maulana bukan baru dalam industri seni kerana beliau sudah mula tampil dengan single pertama berjudul Drama sekitar tahun 2015.

Walau bagaimanapun, perjalanan seni pemilik nama penuh Siti Zaleha Zolkeply, 32, ini agak hambar ketika awal kemunculan sehingga namanya kembali menjadi sebutan selepas bergelar juara program Lagu Cinta Kita 3 (LCK3) tahun lalu.

Beliau kemudian tampil dengan single berjudul Duhai Hati yang menjadi OST drama Kerana Aku Isteri Bidaan.

Beliau juga mengakui tidak terlalu mengejar populariti. Zazo tahu akan susah senang yang bakal beliau tempuh ketika mula nekad bergelar anak seni.

Pernah melalui pengalaman mahu berhenti menyanyi selepas ibunya meninggal dunia ketika berusia 13 tahun, Zazo bagaimanapun kembali bangkit dan meneruskan hasrat arwah ibu yang mahu beliau berjaya dalam bidang ini.

Selain itu, Zazo turut memberitahu kegagalan dalam dua hubungan cinta sebelum ini membuatkan dirinya lebih senang memberi fokus kepada kerjayanya.

Sementara itu, bercakap tentang sambutan menggalakkan terhadap lagu Duhai Hati, kata Zazo beliau amat bersyukur akhirnya dapat tonjolkan kemantapan vokalnya yang sebenar.

“Pertama kali mendengar lagu ini saya tahu ia boleh pergi jauh. Lagu inilah yang menonjolkan vokal saya.

“Apabila ia dijadikan OST drama saya rasa amat terharu. Penerimaan pendengar di luar jangkaan saya. Akhirnya saya dapat membuktikan sesuatu kepada peminat,” jelasnya. – Agensi

Zazo tidak mencari populariti dalam dunia seni. – Agensi