Di kala ramai penyanyi mengejar arus muzik moden dan trend semasa, Zehra Zambri kekal dengan pendirian mahu terus memperjuangkan dan mengangkat irama Malaysia dengan pendekatan kontemporari agar kekal relevan dengan selera pendengar masa kini.
Bekas pembaca berita itu berkata dunia seni bukan sekadar minat tetapi sebahagian daripada jati dirinya yang ingin terus diperkasa setelah sekian lama menyepi daripada industri hiburan.
“Ramai (penyokong) cakap kalau boleh teruskanlah tradisional, sebab itu kekuatan saya. Saya juga sangat minat dengan genre ini, mungkin kita akan kontemporarikan mengikut peredaran masa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Zehra yang kembali mencuri perhatian selepas penyertaannya dalam Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11), mengakui masih ada peminat dan penganjur yang menghargai bakat serta identitinya sebagai penyanyi berteraskan muzik tradisional.
“Saya rasa dalam ramai-ramai artis yang perjuangkan tradisional, nama saya terselit kat situ. Itu satu penghargaan buat saya,” katanya yang sedang merancang kemunculan single terbaharunya.
Pelantun lagu Semalakama itu berkata beliau menyasarkan kerjasama dengan komposer muda berbakat seperti Ikhwan Fatanna dan Hael Husaini, kerana yakin sentuhan segar mereka mampu memberi nafas baharu kepada irama tradisional Malaysia.
“Kalau ada peluang dan mereka sudi menerima saya untuk membawakan karya mereka, mengapa tidak?” katanya.
Mengulas kehidupan selepas meninggalkan kerjaya tetap sebelum ini, ibu kepada seorang cahaya itu menyifatkan keputusannya sebagai langkah besar yang membuahkan ketenangan dan ruang lebih luas untuk memberi tumpuan kepada keluarga serta minatnya. – Bernama
