Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zelensky berikrar untuk timbulkan ‘pembalasan’ terhadap Rusia pada 2024

    KYIV, 1 JAN – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berikrar untuk menimbulkan ‘pembalasan’ terhadap tentera Rusia pada 2024, beberapa jam sebelum Ukraine menyaksikan serangan pada hari pertama tahun 2024.

    Rusia dan Ukraine menyaksikan peningkatan serangan sejak beberapa hari lalu, termasuk serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas bandar Belgorod Rusia yang mengorbankan 24 orang pada hari Sabtu.

    Serangan itu berlaku sehari selepas Moscow melancarkan serangan peluru berpandu dan dron di bandar-bandar Ukraine, membunuh 39 orang dalam salah satu serangan udara terbesar sejak perang bermula.

    1 Januari adalah hari berkabung di ibu kota Ukraine, Kyiv, di mana 19 orang terbunuh, kata pegawai bandar raya itu.

    Hanya beberapa jam selepas tengah malam pada Hari Tahun Baru, ketua wilayah Donetsk yang diduduki Rusia berkata empat orang telah terbunuh dan 13 cedera dalam ‘tembakan besar-besaran’ dari roket di bandar utamanya.

    Di wilayah Odesa selatan Ukraine, gabenor Oleg Kiper berkata seorang maut dalam serangan dron Rusia, dan tiga lagi cedera.

    Dan di wilayah Lviv di barat Ukraine, sistem pertahanan udara menembak jatuh dron Rusia pada awal pagi hari ini, menurut gabenor Maksym Kozytskyi.

    Ucapan Tahun Baru Zelensky yang disiarkan di televisyen memaparkan klip artileri dan jet pejuang Ukraine.

    “Tahun depan, musuh akan merasakan pembalasan pengeluaran domestik,” kata Zelensky. – AFP

    Seorang anggota polis meneliti kerosakan di luar bangunan apartmen selepas serangan dron Rusia semalaman di Kharkiv, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda