ISTANA ELMAU, JERMAN, 27 JUN – Presiden Volodymyr Zelensky menggesa kuasa-kuasa dunia untuk meningkatkan sokongan mereka kepada Ukraine semasa berucap pada sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) kelmarin.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan rakan sejawatannya dari G7 bertemu di Alps Bavaria dan telah menekankan perpaduan me-reka dalam menghadapi pencerobohan Rusia meskipun ekonomi global pada ketika ini mengalami kemerosotan dan semakin teruk akibat peperangan.
Zelensky telah menyertai pemimpin AS, Jerman, Britain, Perancis, Itali, Jepun dan Kanada melalui pautan video pada 10:00 pagi kelmarin.
Dalam ucapan hariannya pada Ahad lalu, Zelensky memperbaharui gesaannya agar lebih banyak senjata dan sistem pertahanan udara akan dihantar ke Ukraine serta menggesa agar negara-negara G7 melaksanakan sekatan baharu terhadap Rusia.
“Kami memerlukan pertahanan udara yang kukuh, canggih dan berkesan sepenuhnya yang boleh memastikan perlindungan lengkap terhadap peluru berpandu yang dilancarkan kepada kami. Kami bercakap tentang perkara ini setiap hari dengan rakan kongsi kami.
Sudah ada beberapa perjanjian dimeterai. Dan rakan kongsi perlu bertindak lebih pantas jika mereka benar-benar rakan kongsi dan bukan hanya sebagai pemerhati,” tegasnya.
Zelensky membuat rayuan tersebut selepas Rusia memusnahkan sebuah bangunan kediaman di Kyiv, Ukraine yang telah menyebabkan seorang maut dan mencederakan empat yang lain termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun. – AFP
