Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zelensky sedia bertemu Putin di Turkiye

    KYIV, 12 MEI – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata kelmarin beliau bersedia untuk bertemu rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin di Turkiye secara peribadi, selepas Donald Trump berkata rundingan langsung diperlukan untuk menentukan sama ada keamanan boleh dicapai.

    Kremlin tidak segera bertindak balas terhadap tawaran Zelensky, dan pemimpin Ukraine itu tidak menyatakan sama ada dia masih akan hadir jika Rusia menolak gencatan senjata selama 30 hari yang dicadangkan oleh Kyiv dan sekutunya Sabtu lalu.

    Moscow dan Kyiv tidak mengadakan rundingan secara bersemuka sejak Mac 2022, sejurus selepas Kremlin melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine pada Februari tahun itu.

    “Kami menunggu gencatan senjata penuh dan berkekalan, mulai esok, untuk menyediakan asas yang diperlukan untuk diplomasi,” kata Zelensky dalam catatan di X.

    “Tiada gunanya memanjangkan pembunuhan.

    Gabungan gambar bertarikh 12 Mei 2025 menunjukkan Putin (kiri) dan Zelensky. –AFP

    Dan saya akan menunggu Putin di Turkiye pada Khamis. Secara peribadi. Saya harap kali ini pihak Rusia tidak akan mencari alasan,” tambahnya.

    Kelmarin, Putin mencadangkan untuk menyambung semula rundingan antara kedua-dua pihak yang diadakan di Istanbul pada Mac 2022.

    Tetapi dia tidak menjawab cadangan gencatan senjata selama 30 hari yang dikemukakan oleh sekutu Kyiv.

    Presiden Amerika Syarikat (AS), Trump, menulis pada platform Truth Socialnya sebelum ini, “Presiden Putin dari Rusia tidak mahu mengadakan Perjanjian Gencatan Senjata dengan Ukraine, sebaliknya mahu bertemu pada Khamis, di Turkiye, untuk merundingkan kemungkinan penamatan pertumpahan darah.”

    “Ukraine harus bersetuju dengan ini, segera. Sekurang-kurangnya mereka akan dapat menentukan sama ada perjanjian itu mungkin atau tidak, dan jika tidak, pemimpin Eropah, dan AS, akan tahu di mana segala-galanya berdiri, dan boleh meneruskan dengan sewajarnya!” – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda