ISTANBUL, 13 FEB – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkata kelmarin beliau mengadakan ‘perbualan bermakna’ dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan membincangkan peluang untuk mencapai keamanan.
Trump mengadakan perbualan telefon dengan Zelenskyy sejurus selepas menghubungi Presiden Rusia Vladimir Putin, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Saya mengadakan perbualan yang bermakna dengan Trump. Kami berbincang secara mendalam mengenai peluang untuk mencapai keamanan, kesediaan kami untuk bekerjasama di peringkat pasukan, serta keupayaan teknologi Ukraine – termasuk dron dan industri maju lain,” kata Zelenskyy dalam satu kenyataan di X.
Beliau turut berterima kasih kepada Trump atas minatnya terhadap potensi kerjasama antara kedua-dua pihak, sambil menambah bahawa perbincangan itu turut merangkumi pertemuannya sebelum ini dengan Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent di Kyiv serta persiapan dokumen baharu berkaitan keselamatan, kerjasama ekonomi dan perkongsian sumber.
“Presiden Trump berkongsi butiran perbualannya dengan Putin.
“Bersama AS, kami sedang merangka langkah seterusnya untuk menghentikan pencerobohan Rusia dan memastikan keamanan yang berkekalan serta boleh dipercayai. Seperti yang dikatakan Presiden Trump, mari kita jayakannya,” kata Zelenskyy sambil menegaskan bahawa tiada pihak yang lebih menginginkan keamanan selain Ukraine.
Zelenskyy menyatakan bahawa mereka bersetuju untuk terus berhubung dan merancang pertemuan pada masa hadapan. – Bernama/Anadolu
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/4-Zelensky.jpg)