Zenit lebur harapan Chelsea

SAINT PETERSBURG, 9 DIS – Thomas Tuchel mengakui Chelsea bergelut mempertahankan kelebihan selepas juara bertahan itu terlepas peluang menamatkan kedudukan di tempat teratas Kumpulan H dalam aksi Liga Juara-Juara apabila terikat 3-3 di Zenit Saint Petersburg, pagi ini.

Skuad kendalian Tuchel sudah layak ke kelompok 16 terakhir dan berharap untuk mengambil tempat pertama yang secara teorinya boleh mendapat undian mudah di peringkat kalah mati.

Mereka hanya terlepas peluang apabila Magomed Ozdoev meledak untuk gol penyamaan yang membuatkan Chelsea ketinggalan dua mata di belakang juara kumpulan, Juventus.
Timo Werner meletakkan Chelsea di depan selepas 84 saat menerusi gol terpantas kelab itu dalam Liga Juara-Juara.

Claudinho menyamakan kedudukan dan Sardar Azmoun meletakkan Zenit di depan sebelum rehat separuh masa pertama.

Romelu Lukaku yang membuat penampilan pertama sejak mengalami kecederaan pergelangan kaki berdepan Malmo pada Oktober, menyamakan kedudukan menerusi gol ke-11 di kelab itu sejak meledak ketika berdepan Zenit pada September.

Werner kelihatan seolah-olah boleh memberikan kemenangan dalam perlawanan berbaki lima minit tetapi gol minit akhir Ozdoev menambah lagi masalah kepada apa yang sedang dialami Tuchel ketika ini.

Selepas Chelsea kalah 2-3 kepada West Ham yang menendang mereka keluar dari kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris, keputusan ini merupakan satu lagi kekecewaan buat The Blues. – AFP

Reaksi jurulatih Chelsea Thomas Tuchel semasa perlawanan Zenit St Petersburg menentang Chelsea di stadium Gazprom Arena di Saint Petersburg pada 8 Disember. – AFP