MOSCOW, 30 Okt – Zenit St Petersburg mencatatkan kemenangan 1-0 di Samara yang beraksi dengan 10 pemain semalam untuk mengukuhkan pendahuluan mereka dalam persaingan Liga Perdana Rusia.
Pemain midfield Argentina, Leandro Paredes menjaringkan gol untuk memastikan Zenit mencatatkan kemenangan sukar mereka, yang meletakkan mereka enam mata di depan Krasnodar, yang bangkit setelah ketinggalan satu gol untuk menewaskan CSKA Moscow 2-1 pada Ahad lalu.
Juara Lokomotiv Moscow, yang menewaskan Yenisei Krasnoyarsk 3-0 berada di tangga ketiga, ketinggalan satu mata di belakang. Pengurus pasukan Zenit, Sergei Semak berkata bahawa biarpun mencatatkan kemenangan, dia merasa kecewa dengan permainan pasukannya.
“Pasukan saya beraksi dengan hambar hari ini tetapi kami berjaya menjaringkan gol untuk mengutip tiga mata penuh,” katanya.
“Ia adalah kemenangan yang diperlukan bagi kami, memandangkan kami mempunyai jadual yang terlalu sibuk. Tetapi kami perlu untuk bekerja keras memandangkan kami tidak mempunyai pilihan lain.”
Pada minit ke-16, pemain sayap pasukan Samara, Denis Tkachuk terlepas peluang bagi menjaringkan gol pembukaan yang menyaksikan bola hanya beberapa inci di atas palang menerusi tandukan jarak dekat.
Paredes meletakkan Zenit mendahului kedudukan pada minit ke 22 dengan meledakkan rembatan leret di tiang gol kiri dari jarak 25 ela selepas larian kencang dari bahagian bulatan.
Selepas rehat Samara mencipta peluang jaringan tetapi gabungan penyudah yang hambar dan hadangan yang bagus dari Andrei Lunev jelas mengecewakan 27,000 penyokong tuan rumah.
Pada minit ke-78, Samara dikurangkan kepada 10 pemain selepas pemain pertahanan mereka dari Uruguay, Agustin Rogel diarah meninggalkan padang kerana kekasaran ke atas Artem Dzyuba. Dalam perlawanan lain, Spartak Moscow dan Rubin Kazan hanya mampu seri 1-1.
Pemain sayap kiri, Dmitry Kombarov memastikan Spartak di depan pada minit ke-78 dengan sepakan penalti tepat selepas bola terkena tangan pemain pertahanan Rubin, Vitaly Ustinov dalam kawasannya. – AFP