NEW YORK, 5 JUN – Rose Zhang memenuhi semua jangkaan sebelum kejohanan sebagai pemain golf wanita hebat seterusnya – sekurang-kurangnya dalam minggu pertamanya sebagai seorang profesional.
Juara dua kali NCAA menjadi pemain pertama dalam 72 tahun yang memenangi kejohanan dalam penampilan profesional pertamanya di Jelajah LPGA, menjulang trofi Terbuka Amerika Mizuho dengan par di lubang tambahan kedua ketika menentang Jennifer Kupcho kelmarin.
Zhang tiba di Jelajah LPGA dengan sorakan paling hebat sejak Michelle Wie West pada tahun 2005, dan beliau mendapat pencapaian tersebut dalam bayang-bayang the Big Apple.
“Saya tak percaya,” kata Zhang. “Baru minggu lepas saya menang NCAA dengan rakan sepasukan saya, beralih ke liga profesional dan bermain di sini, ia adalah sangat menakjubkan. Saya menikmati perjalanan ini.”
Walaupun sebenarnya ia berlaku dalam jangka masa 13 hari.

Pemain wanita terakhir yang memenangi gelaran dalam penampilan profesional pertamanya ialah Beverly Hanson, yang menewaskan Babe Zaharias dalam Terbuka Eastern pada tahun 1951.
Prestasi tersebut begitu mengagumkan sehingga menarik perhatian bekas pelajar Stanford, Tiger Woods.
“Sungguh beberapa minggu yang luar biasa untuk Rose Zhang, mempertahankan gelaran NCAA kemudian memenangi penampilan profesional pertamanya. Go card!” ciap Woods.
Zhang tersenyum lebar apabila diberitahu, sambil menambah bahawa beliau belum ada peluang untuk melihat telefon sejak kejohanan berakhir.
“Reaksi saya memberitahu segalanya,” kata Zhang, yang mengatakan bahawa beliau tidak melihat papan tanda skor sehingga lubang ke-16 dan tidak tahu kedudukannya dalam kumpulan.
Ia sebenarnya tidak berubah. Beliau memulakan dengan kelebihan dan tidak pernah kehilangannya. – AP

