SHANGHAI, 11 MAC – Satu-satunya pemegang gelaran juara Ultimate Fighting Championship pertama dari China, Zhang Weili (gambar bawah) akan mempertahankan gelaran strawweightnya ketika menentang Rose Namajunas dari Amerika Syarikat pada 24 April ini, kata UFC kelmarin.
Mereka akan bertanding di UFC 261 dalam kad yang sama dengan pertandingan gelaran flyweight wanita antara juara bertahan Valentina Shevchenko dan Jessica Andrade. Tempat pertarungan belum ditentukan lagi.
Zhang, yang mengharumkan negaranya, China dalam UFC, bangga dengan rekod kemenangan MMA 21-1 dan presiden UFC, Dana White menyamakannya dengan Conor McGregor dan Ronda Rousey sebagai bintang utama sukan itu.
Dia berjaya mempertahankan gelarannya untuk pertama kalinya menentang Joanna Jedrzejczyk dari Poland pada bulan Mac tahun lalu di Las Vegas dalam pertarungan yang hebat, tetapi kemudian mendapati dirinya terkandas di Amerika Syarikat selama enam minggu kerana wabak koronavirus. – AFP