Wednesday, May 7, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zhao dinobat juara snuker dunia pertama China

    SHEFFIELD, 6 MEI – Zhao Xintong dinobatkan sebagai juara snuker dunia pertama dari China selepas menahan asakan kebangkitan Mark Williams untuk mencatat kemenangan 18-12 di Crucible.

    Memulakan sesi akhir hanya satu frame daripada kemenangan, Zhao terpaksa menunggu saat bersejarah itu apabila pemain veteran dari Wales itu memenangi empat frame berturut-turut hingga memanjangkan aksi melepasi rehat pertengahan sesi.

    Williams, yang pada usia 50 tahun menjadi finalis tertua dalam sejarah Crucible, berpeluang merapatkan jurang sebelum Zhao kembali menemui rentak dan mencatat break penentu kemenangan sebanyak 87 mata. Dia meraikan kejayaan itu dengan mengibarkan bendera China.

    Dengan kemenangan itu, Zhao bukan sahaja menjulang trofi berprestij bersama hadiah wang tunai £500,000 (AS$663,700), tetapi turut menjadi pemain ketiga yang layak ke kejohanan melalui pusingan kelayakan dan pemain amatur pertama menjuarai saingan di Crucible, selepas kehilangan kad jelajahnya pada Januari 2023 susulan penglibatannya dalam skandal mengatur perlawanan.

    Zhao sebelum ini mengaku terlibat dalam cubaan mengatur dua perlawanan membabitkan rakan senegaranya, Yan Bingtao, juara Masters terdahulu. Walaupun sering menyatakan kekesalannya, masih ada yang menganggap kejayaannya itu tercemar.

    Kemenangan ke atas Williams merupakan kemenangan kesembilan Zhao dalam kejohanan itu – satu rekod bagi mana-mana juara – dan yang ke-47 daripada 49 perlawanan sejak dia memulakan kebangkitan semula dengan kemenangan 3-0 ke atas pemain Lithuania, Vilius Schulte-Ebbert dalam kejohanan Q Tour di Sofia pada September lalu.

    Selepas 227 hari, Zhao akhirnya mengatasi pencapaian Ding Junhui, yang memulakan era kebangkitan snuker China apabila meraih gelaran pertama daripada tiga kejuaraan UK pada 2005, namun tidak pernah berjaya menjuarai kejohanan di Crucible.

    Zhao telah lama dianggap sebagai pewaris Ding, malah Ronnie O’Sullivan dan Jimmy White pernah menyifatkannya sebagai bintang masa depan sebaik beliau menerima kad jelajah pertamanya pada 2016. – Bernama

    Aksi Zhao Xintong semasa Kejohanan Snuker Dunia di The Crucible, Sheffield, England. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda