MELBOURNE, 22 DIS – Juara Olimpik, Zheng Qinwen telah mengumumkan bahawa dia tidak akan bertanding di kejohanan pasukan campuran Piala United yang bermula akhir bulan ini, sebaliknya memilih untuk memberi tumpuan kepada persediaan untuk Grand Slam pertama musim 2025.
Dalam musim yang luar biasa bagi pemain berusia 22 tahun itu, Zheng mara ke final Terbuka Australia pada Januari – di mana dia tewas kepada Aryna Sabalenka – sebelum meraih emas di Sukan Olimpik Paris dan menamatkan tahun sebagai naib juara Final WTA, sekali gus mengakhiri tahun dengan kedudukan ke-5 dalam ranking dunia.
Dia sepatutnya mewakili China di Piala United yang bermula 27 Disember, tetapi berkongsi keputusan untuk menarik diri melalui media sosial hari ini.
“Setelah musim yang panjang pada 2024, saya memerlukan beberapa minggu tambahan untuk berehat, pulih dan menjalani latihan yang baik untuk bersedia menghadapi musim baharu,” kata Zheng.
“Saya mempunyai pengalaman yang sangat hebat di Piala United pada Januari tahun ini, oleh itu saya akan sangat merindui kejohanan itu.
“Namun, saya juga amat teruja untuk kembali ke Australia tidak lama lagi dan saya akan bertemu dengan awda semua di Melbourne dalam beberapa minggu.”
Ketiadaan Zheng bermakna pemain wanita nombor 175 dunia, Gao Xinyu, akan menjadi pemain wanita terbaik China di Piala United. Manakala pemain nombor 45 dunia, Zhang Zhizhen akan mengetuai barisan lelaki untuk China ketika mereka berdepan Brazil di Perth, Australia, pada Jumaat.
Terbuka Australia bermula pada 12 Januari tahun depan. – AP