Penyanyi bervokal tinggi, Ziana Ziana, 54, melihat ramai penyanyi tampil mempopularkan semula lagu saduran atau ‘cover version’.
Baginya, pendengar seakan merindui muzik 1990an pada era kegemilangan genre pop. Disebabkan itulah, genre muzik itu kini bangkit semula.
“Bila dengar lagu dari Indonesia, banyak lagu genre 1990an ditambah baik dengan susunan muzik baharu. Jadi, ini bermakna, pendengar mahukan lagu sedemikian.
“Jadi, siapa dapat mengeluarkan lagu bergenre ini boleh meletup dan terus relevan antara empat hingga lima tahun lagi.
“Contohnya, Aina Abdul. Dia cerdik dengan mengeluarkan lagu Terus Hidup. Menerusi lagu ini, Aina menerapkan elemen yang saya boleh katakan, berhasil,” katanya kepada BH Online.
Penyanyi lagu Madah Berhelah dan Puncak Kasih itu berkata, dia tidak kisah sekiranya penyanyi sekarang menyanyikan semula lagunya.
“Awda mempunyai kebebasan berbuat sedemikian. Awda juga boleh lakukan dengan versi awda, saya dengan versi saya sendiri.
“Sebab selera dan pembawaan masing-masing berbeza. Jadi, mengapa tidak?
“Mungkin penyanyi lain boleh membawakan lagu saya lebih baik daripada saya. Jadi, saya tiada masalah mahu memberikan sokongan,” katanya.
Katanya, dia tidak meletakkan kriteria, di mana hanya penyanyi bagus boleh menyanyikan lagu miliknya.
“Saya sendiri masih belajar benda baharu, setiap hari.
“Kalau soal gubahan melodi, kena tanya pencipta lagu. Saya hanya menyanyikannnya.
“Tetapi sebagai penyanyi, awda bebas menyanyikannya semula,” katanya. Ziana berkata, begitu juga komen diterima selepas Konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Ogos lalu. – Agensi