Gabungan mantap irama pop dan puisi mencetuskan magis tersendiri apabila diva pop negara, Ziana Zain dan penyanyi puisi, Umar Uzair berkongsi pentas dalam Konsert Gelora Puitika di Panggung Seni Kota Mahsuri, baru-baru ini.
Konsert yang mengetengahkan konsep muzikal puisi itu menyatukan elemen muzik, nyanyian dan lirik puitis, sekali gus menghadirkan pengalaman artistik yang menyentuh emosi penonton.
Persembahan diiringi secara langsung oleh mini orkestra Simfoni Seni Budi dari Kota Mahsuri dipimpin pemuzik tempatan, Zulkifli Hanafi.
Persembahan bermula dengan kemunculan Umar Uzair, juara Penyair Muda ASEAN 2015 mempersembahkan lagu Hasrat Enggang, Cenderawasih dan Rindu Membius Separuh Logikaku.
Emosi penonton semakin dibuai apabila beliau yang pernah mewakili negara ke festival seni antarabangsa dari Athens hingga Kathmandu menyanyikan lagu Aku Yang Mahu.
Sorakan gemuruh bergema apabila Umar dan Ziana berduet buat pertama kali menerusi lagu Dekat Tapi Jauh, menggabungkan kelembutan puisi dan kekuatan vokal soprano Ziana yang bertenaga, lantang dan bersih.
Ziana seterusnya menguasai pentas dengan lagu hitnya seperti Setiaku Di Sini, Bersama Akhirnya dan lagu keramat Anggapanmu yang menjadi penutup sempurna malam penuh emosi itu.
Ketika ditemui selepas konsert, Umar yang komited memperjuangkan lagu puisi sejak 16 tahun lalu menyifatkan peluang berduet dengan Ziana sebagai impian yang tercapai.
“Saya telah lama menyimpan hasrat berduet dengan Ziana. Terima kasih atas kesudian beliau berganding membuat persembahan pada konsert malam ini (Jumaat lalu),” katanya kepada BH Online.
Pada masa sama, Umar menegaskan untuk terus memberi keutamaan dan terus mengabdi diri memperjuangkan lagu puisi sebagai kesinambungan legasi Datuk M Nasir, Kopratasa dan Ebiet G Ade.
Ziana yang juga puteri pop 1990-an menyambut baik penganjuran konsert berteraskan puisi dan puitis yang turut mendapat sambutan hangat penonton.
“Saya berusaha menghidupkan makna dalam bait lirik yang dinyanyikan. Konsert seperti ini wajar diperbanyakkan untuk perkembangan seni dan cabangnya,” ujarnya.-Agensi
