Tuesday, February 11, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ziana Zain imbau kembali kesukaran hidup semasa PKP

    Wabak COVID yang melanda dunia tiga tahun lalu bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan orang ramai malah kehidupan seharian.

    Itu juga dirasai penyanyi Ziana Zain yang turut berdepan dengan kesukaran membesarkan empat anaknya apatah lagi negara ketika itu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Memetik laporan mStar, Ziana atau Siti Roziana Zain, 55, berkata beliau terpaksa menggunakan wang simpanan untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anak disebabkan tiada undangan persembahan akibat COVID.

    “Ia bermula selepas saya bercerai sehingga tiga ke empat tahun kemudian. Ketika itu tiada kerja dan terpaksa guna duit simpanan memandangkan tiada tawaran disebabkan COVID.

    “Kalau saya anak dua mungkin tiada masalah tetapi dalam keluarga kami ada lima orang,” katanya.

    Ziana berkongsi perkara itu menerusi temu bual dalam program Borak Selebriti stesen radio Sinar FM yang dikendalikan oleh Dina Nadzir dan Falyq Hikyle.

    Dalam pada itu, Ziana berkata, ketika itu juga kesihatannya terjejas apabila mula mengalami masalah sakit perut disebabkan gastrik dan gerd.

    “Sebelum ini saya tahan diri tak makan demi peminat. Itu pengorbanan yang perlu saya lakukan. Ketika PKP saya makan sampai dapat gastrik dan gerd.

    “Saya rasa sakit sehingga terpaksa pergi buat pemeriksaan di Institut Jantung Negara sebab menyangka ada masalah jantung tetapi doktor maklumkan saya mengalami gastrik yang teruk,” dedahnya.

    Bagaimanapun kata penyanyi lagu Madah Berhelah itu, di sebalik kepayahan dilalui, beliau sentiasa percaya akan ketetapan rezeki.

    Malah beliau tidak pernah putus berdoa agar dikurniakan rezeki buat diri dan anak-anak.

    “Saya hanya berserah kepada Allah. Saya berdoa dan percaya Allah pegang rezeki kita. Cuma kita tidak tahu ia datang cepat atau lambat,” ceritanya.

    Untuk rekod Ziana pernah mendirikan rumah tangga dengan Armin Zaharin pada 9 Mei 1998 namun mereka sah bercerai pada Julai 2018.

    Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 23, Muhammad Ammar, 19, serta pasangan kembar Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 15. – Agensi

    Ziana Zain kuat berdepan dugaan demi anak-anak. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda