Tuesday, July 15, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ziarah eratkan hubungan keluarga di Labuan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Semangat kekeluargaan terus diperkukuh apabila ahli keluarga Dang Sanak Keturunan Awang Mohamad, yang berasal dari Kampung Burong Pingai Ayer, Bandar Seri Begawan, mengadakan kunjungan silaturahim ke Wilayah Persekutuan Labuan, Malaysia, baru-baru ini.

    Kunjungan disertai oleh lapan orang ahli keluarga dari Brunei Darussalam yang diketuai oleh Pengerusi Keluarga Warisan, Haji Mohammad Isa bin Haji Marsidi.

    Turut menyertai rombongan ialah penasihat-penasihat keluarga, Haji Moksin bin Haji Agong dan Haji Sabtu bin Haji Abdullah bersama ahli keluarga masing-masing.

    Suasana mesra dan penuh keakraban menyelubungi lawatan tersebut apabila rombongan menziarahi lima buah rumah ahli keluarga di Kampung Patau-Patau 2, Labuan.

    Setiap kunjungan menjadi medan bagi mengimbas kenangan silam, bertukar cerita dan membincangkan langkah-langkah mempererat silaturahim yang sekian lama terjalin.

    Antara rumah yang dikunjungi termasuk rumah Haji Kawi bin Said, diikuti rumah Haji Alidin bin Said, Haji Johari bin Haji Asmat, Allahyarham Haji Asri bin Haji Asmat dan akhir sekali rumah Awang Omarali bin Haji Asmat.

    Kunjungan tersebut mencerminkan komitmen berterusan keluarga besar keturunan Awang Mohamad dalam menyemarakkan nilai kekeluargaan serta warisan persaudaraan yang merentasi sempadan negara.

    Menurut Haji Mohammad Isa, kunjungan seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai usaha menyatukan lebih ramai ahli keluarga dari dalam dan luar negara.

    “Ia sekali gus memupuk semangat kekitaan serta kasih sayang yang berpanjangan dalam kalangan generasi muda dan tua,” ujarnya.

    Rombongan dari Brunei Darussalam mengunjungi salah sebuah rumah ahli keluarga yang berada di Kampung Patau-Patau 2, Labuan, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda