Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zidane mohon maaf

    MADRID, 29 April – Zinedine Zidane membuat permohonan maaf dan berharap supaya penderitaan Real Madrid pada musim ini berakhir selepas mereka tewas kepada kelab tangga ke-19 La Liga, Rayo Vallecano, semalam.

    Respons Real susulan kejayaan Barcelona mengesahkan gelaran La Liga, Sabtu lalu cukup mengecewakan apabila mereka tewas 1-0 di Vallecas sekali gus ketinggalan 18 mata di belakang seteru utamanya itu.

    Ketika mengambil alih jawatan, Zidane mengerti cabaran Real untuk mencabar kejuaraan sudah berakhir apabila ketinggalan 12 mata di belakang Barca tetapi untuk mengejar pasukan tangga kedua, Atletico Madrid tidak mustahil.

    Tetapi dengan baki tiga perlawanan liga, mereka ketika ini ketinggalan sembilan mata di belakang seteru tetangganya itu dengan gol kemenangan Rayo dijaringkan menerusi penalti Adri Embarba yang diperoleh hasil Video Bantuan Pengadil (VAR).

    “Hari ini kami tidak melakukan apa-apa,” kata Zidane. “Bermula daripada minit pertama sehingga akhir, di semua tahap. Kadangkala kamu tidak mampu menjaringkan gol tetapi hari ini kami langsung tidak mencipta peluang, langsung tidak bermain.

    Pengurus Rayo Vallecano, Paco Jeme (kiri) dan Zidane meninggalkan padang selepas perlawanan La Liga pasukan mereka di stadium Vallecas tamat, kelmarin. – AP

    “Kami perlu berasa amat marah. Saya amat marah, kerana imej yang kami berikan pada hari ini amat buruk. Saya turut bertanggungjawab, bukan pemain saja. Kami perlu meminta maaf atas persembahan kami pada hari ini, kami semua.”

    Sabtu lalu, jurang di antara Real dan Barca kian menjauh dengan pemain kelab Catalan itu bersuka ria di Nou Camp selepas melengkapkan gelaran keempat La Liga dalam tempoh lima tahun.

    Ditanya sama ada dia mahu musim ini berakhir serta merta, Zidane membalas: “Ya, tetapi kami perlu mengharungi tiga perlawanan ini dan melakukan sesuatu yang berbeza. Kami tidak boleh menamatkannya seperti ini.

    “Ia juga mengenai diri saya, hari ini apa yang saya lakukan terhadap pasukan, ia langsung tidak berhasil. Kami perlu menghormati bola sepak dan apa yang kelab ini wakili.”

    Kali terakhir Rayo melakar kemenangan ke atas Real di Vallecas adalah pada 1997 dengan jaringan yang sama dan kali ini, mereka turut kehilangan penyerang utama, Raul de Tomas yang juga pemain pinjaman dari Real dan tidak dibenarkan beraksi.

    Zidane memberikan satu lagi peluang buat Gareth Bale tetapi pemain Wales itu gagal menyerlah manakala Thibaut Courtois membuat penampilan sulung di bawah kendalian pengurus Perancis itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda