MADRID, 3 Mei – Rekod jaringan sensasi Cristiano Ronaldo dipuji sebagai ‘unik’ oleh bos Zinedine Zidane ketika hatrik terbarunya menyaksikan Real Madrid selangkah ke final Liga Juara-Juara dengan menewaskan Atletico Madrid 3-0.
Hatrik Ronaldo itu adalah yang keduanya menentang Atletico musim ini dan kedua berturut-turut dalam Liga Juara-Juara selepas mengatasi Bayern Munich dalam peringkat suku akhir.
“Menjaringkan gol adalah sesuatu yang dimilikinya melebihi yang lain, ini menjadikannya unik,” kata Zidane.
Kejayaan tersebut melanjutkan kemenangan Real ke atas Atletico dalam Liga Juara-Juara sejak empat musim lalu.
Real menyingkirkan pasukan kendalian Diego Simeone pada setiap tiga tahun lalu, termasuk perlawanan pada 2014 dan 2016, dengan margin menarik.

Bagaimanapun, terdapat jurang di antara kedua pasukan ketika tandukan Ronaldo pada minit ke-10 bagi membuka jaringan.
Dan Real menjaringkan dua lagi gol pada 20 minit terakhir untuk memastikan jaringan itu menggambarkan penguasaan Real.
Kejayaan itu juga mengekalkan Real dalam laluan untuk menjadi pasukan pertama untuk mengekalkan gelaran Liga Juara-Juara dalam tempoh 27 tahun.
“Kami beraksi dengan hebat, ia bukanlah mudah untuk menjaringkan tiga gol (menentang Atletico),” tambah Zidane.
“Setengah jam pertama adalah menarik, kami memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol kedua, tetapi kami mendapatkannya pada separuh masa kedua.
“Kami merasa gembira dengan persembahan itu. Untuk menjaringkan tiga gol dan paling penting dalam (dua perlawanan) mengekalkan permainan bersih di gelanggang sendiri adalah begitu penting.”
Ronaldo sekarang ketinggalan satu gol di belakang pesaing dari Barcelona, Lionel Messi sebagai penjaring terbanyak Liga Juara-Juara musim ini dengan 10 gol. – AFP