LONDON, 1 Nov – Zinedine Zidane menegaskan bahawa Real Madrid akan mengetepikan pergelutan mereka kebelakangan ini dan menghasilkan persembahan terbaik dalam penampilan pertama mereka di Wembley apabila berdepan Tottenham dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi Khamis.
Skuad kendalian Zidane menerima kritikan selepas permulaan hambar mereka musim ini dengan mencapai satu lagi kedudukan terendah apabila tewas 2-1 kepada Girona dalam aksi La Liga.
Real ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu Barcelina selepas tewas dua dan seri dua dalam 10 perlawanan pembukaan, dan Zidane berdepan dengan persoalan mengenai taktik dan kebolehan motivasinya buat pertama kali.
Dengan berlatar belakangkan masalah itu, kunjungan ke London berdepan Tottenham di Wembley mungkin menyediakan ujian sukar buat moral Madrid.
Tetapi Zidane melihatnya dari pandangan berbeza, dan pengurus Madrid itu percaya penampilan kelabnya di stadium terkenal itu boleh memberikan kesan positif pada pasukan.
“Wembley merupakan sebuah tempat yang penting dalam dunia bola sepak. Ia adalah pentas hebat untuk bermain lawan yang hebat,” kata Zidane kepada para wartawan.
Peluang untuk meraih keputusan baik di Wembley adalah gangguan yang dialu-alukan oleh Zidane dan skuadnya memandangkan prestasi tidak menentu mereka. – AFP