MADRID, 27 MEI – Zinedine Zidane membuat keputusan untuk meletak jawatan sebagai pengurus Real Madrid dengan serta-merta, menurut laporan media, beberapa hari selepas kelab tewas dalam perebutan gelaran La Liga kepada Atletico Madrid.
Pengurus kelahiran Perancis itu dilaporkan meninggalkan kelab pada penghujung kempen yang mengecewakan buat juara Eropah sebanyak 13 kali itu, yang dikalahkan oleh Chelsea di peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara selepas mereka gagal memenangi sebarang trofi buat kali pertama dalam 11 musim.
Jurnalis bola sepak Itali, Fabrizio Romano memberitahu berita ‘eksklusif’ tersebut menerusi Twitter dan dipetik oleh media sukan Sepanyol termasuk akhbar sukan Madrid, Marca dan AS serta stesen radio Cadena Ser.
Pengumuman rasmi mengenai peletakan jawatannya, menurut Romano, akan dibuat ‘dalam tempoh beberapa jam atau hari’.
Hanya 10 hari lalu Zidane, yang mempunyai baki kontrak sehingga 2022, menafikan spekulasi media bahawa dia sudah memberitahu pemainnya bahawa dia akan meninggalkan kelab pada penghujung musim.

“Bagaimana saya akan memberitahu pemain saya bahawa saya akan meninggalkan kelab? Itu semua adalah satu penipuan,” katanya selepas kemenangan tipis 1-0 ke atas Athletic Bilbao.
“Fokus saya pada musim ini. Masih ada baki perlawanan dan kami akan memberikan segala-galanya. Saya hanya fikirkan apa yang bakal berlaku pada final ini.”
Tetapi, seakan memberi bayangan, dia menambah, “Selebihnya, kami akan lihat apa yang bakal berlaku pada penghujung musim.”
Jika disahkan, ini menandakan tempoh berakhir kedua bagi Zidane menguruskan kelab gergasi Sepanyol.
Pemenang Piala Dunia 1998 mengambil alih tugas pada Januari 2016 dan membimbing Real menjulang piala La Liga pada 2017 dan kejuaraan hatrik Liga Juara-Juara sebelum berundur secara mengejut pada 31 Mei 2018.
Dia kembali pada 2019, memenangi dua gelaran La Liga pada 2020 dan Piala Super Sepanyol. – AFP