Zii Jia kejutkan Chen Long

KUALA LUMPUR, 19 JULAI – Pemain perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia merakamkan kejutan terbesar dalam kariernya apabila menyingkirkan juara Sukan Olimpik Rio 2016, Chen Long, seawal pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Jakarta, hari ini.

Pemain berusia 21 tahun itu, yang dianggap bakal pengganti Datuk Lee Chong Wei, menampilkan aksi cemerlang apabila mengatasi lawan dari China itu dalam rubber-set 21-16, 19-21, 22-20 dalam pertarungan selama 88 minit di Istora Senayan.

Kemenangan tersebut membolehkan Zii Jia buat pertama kali melangkah ke suku akhir kejohanan berstatus Jelajah Dunia BWF Super 1000. Beliau akan menentang pemain Denmark, Anders Antonsen untuk merebut slot separuh akhir.

Antonsen mendapat kemenangan percuma pada pusingan kedua selepas pemain nombor dua dunia, Shi Yuqi dari China menarik diri pada set pertama.

Sementara itu, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jamie Lai turut mara ke suku akhir selepas mengejutkan pilihan keenam dan wakil tuan rumah, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja 21-15, 21-18.

Lee Zii Jia mengembalikan pukulan ketika menentang Cheng Long pada Terbuka Indonesia di Jakarta, kelmarin. – AFP

Beregu campuran senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, turut mara ke pusingan seterusnya apabila dengan mudah menyingkirkan pilihan kelapan, Tan Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong dalam straight set 21-15, 21-14.

Beregu campuran profesional Malaysia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, selaku pilihan kelima, turut mengesahkan tempat di suku akhir apabila mengalahkan pasangan Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yujung 21-19, 21-15.

Dalam pada itu, cabaran negara dalam acara perseorangan dan beregu wanita berakhir di pusingan kedua apabila pemain perseorangan, Soniia Cheah tewas kepada pemain nombor tiga dunia, Nozomi Okuhara dari Jepun dengan keputusan 21-7, 21-16.

Beregu Mei Kuan-Lee Meng Yean turutr mengalami nasib sama apabila kalah 21-13, 21-12 kepada satu lagi beregu Jepun, Matsutomo-Ayaka Takahashi yang merupakan pilihan ketiga kejohanan.

Satu lagi beregu Malaysia, Vivian Hoo Kah Mun-Yap Cheng Wen tersekat ke pusingan seterusnya apabila memberi tentangan sengit sebelum kalah 21-19, 12-21, 10-21 kepada beregu Korea Selatan, Lee So Hee-Shin Seung Chan. – Bernama