JAKARTA, 16 JUN – Jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia mempamerkan aksi bertenaga ketika menewaskan pemain India, Sameer Verma untuk mara ke pusingan suku akhir Terbuka Indonesia 2022.
Pemain nombor lima dunia yang turun selaku pilihan keenam kejohanan itu memerlukan 41 minit untuk mengetepikan cabaran Sameer, 21-10, 21-13, di Stadium Istora Senayan di sini, hari ini.
Zii Jia ketika ditemui pemberita selepas perlawanan mengakui tahap keyakinannya semakin meningkat bagi menghadapi cabaran seterusnya.
“Saya rasa sudah semakin biasa dengan penonton di sini.
“Ini sangat bagus untuk saya. Harap semuanya baik untuk pusingan seterusnya,” katanya.
“Sasaran saya ialah untuk jadi juara di Terbuka Indonesia. BWF Super 1000 ini adalah kejohanan yang besar, harap dapat fokus 100 peratus,” tambahnya.
Pemain berusia 24 tahun itu dijangka bertemu pemain Singapura, Loh Kean Yew yang menumpaskan Toma Junior Popov dari Perancis dengan keputusan 21-16, 21-9.
Sementara itu, dalam aksi beregu campuran, beregu Malaysia Hoo Pang Ron dan Toh Ee Wei menundukkan rakan senegara, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai dengan keputusan 21-19, 21-19.
Pang Ron dan Ee Wei bakal bertemu pasangan Korea Selatan, Seo Seung Jae dan Chae Yu Jung, yang menewaskan wakil tuan rumah, Sabar Karyaman Gutama dan Moh Reza Pahlevi Isfahani dengan mendapatkan keputusan, 21-13, 21-11.
Beregu wanita Malaysia, Vivian Hoo dan Lim Chiew Sien pula terkandas di pusingan kedua setelah kalah kepada pasangan China, Du Yue dan Li Wen Mei, 10-21, 21-13, 9-21. – Bernama